Lapan premis didenda ingkar arahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Lapan buah premis perniagaan didapati tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan dan telah dikenakan denda kompaun keseluruhannya berjumlah $2,250.

Kesalahan-kesalahan yang dikenakan kompaun termasuk pengendali dan penyedia makanan serta pekerja-pekerja tukang gunting rambut dan establismen kecantikan dan kesihatan tidak memakai penutup hidung dan mulut serta tiada pemeriksaan suhu badan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, kesalahan–kesalahan itu didapati semasa beberapa siri Operasi Merati yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 12 hingga 18 Oktober di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

Semasa operasi itu, sebanyak 55 buah premis perniagaan telah diperiksa dengan operasi berkenaan dikendalikan di kawasan-kawasan premis perniagaan di Batu Bersurat, Lambak Kanan, Anggerek Desa, Berakas, Kilanas, Jerudong dan Masjid Sufri Bolkiah di Daerah Brunei dan Muara; Bangunan Seria Plaza, Pekan Seria dan Masjid Kampung Bukit Sawat di Daerah Belait; Kampung Pengkalan Mau di Daerah Tutong dan Kampung Puni, Pekan Bangar dan Masjid Kampung Labu di Daerah Temburong.

Kenyataan menyatakan bahawa Operasi Merati kali ini, telah mendapati bahawa beberapa buah premis perniagaan yang telah dikenakan denda kompaun sebelum ini, masih tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Kementerian Kesihatan sekali lagi mengingatkan orang ramai terutama bagi para pengurus dan kakitangan premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya khususnya untuk memastikan pengendali, penyedia makanan dan kakitangan mereka memakai penutup hidung dan mulut.

Mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis masing-masing.

Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai khususnya kepada para jemaah yang berada di kawasan premis masjid, surau dan balai-balai ibadat untuk memakai penutup hidung dan mulut dan mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Pengurus premis juga dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis mereka dan mencetak Kod QR dan diletakkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan.

Pengurus premis juga diingatkan untuk menggunakan aplikasi Premise Scan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan yang tidak menggunakan aplikasi BruHealth di telefon bimbit mereka.

Selain daripada itu, mereka juga perlu mengamalkan langkah-langkah kebersihan dalam premis perniagaan dan bagi premis makanan diingatkan untuk mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan jika menyediakan makanan secara bufet.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau mengunjungi laman Facebook dan Instagram untuk mendapatkan maklumat terkini.

Sebarang aduan atau laporan mengenai premis-premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghubungi Talian Darussalam 123.