Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Beberapa buah stesen minyak di tiga buah daerah dijadualkan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan untuk pam minyak bagi Ogos 2023.
Stesen-stesen minyak yang ditutup bagi Daerah Brunei dan Muara dari 9 hingga 11 pagi ialah Stesen Minyak Syarikat Kerjasama Kampung Tanjong Nangka (Satenaga) pada 3 Ogos, Stesen Minyak Syarikat Badan Tanmiah (5 Ogos), Stesen Minyak Syarikat TAIB Beribi (7 Ogos), Stesen Minyak Syarikat Pengalayan (8 Ogos) dan Syarikat Minyak Tasamul pada 9 Ogos.
Bagi Daerah Belait ialah Stesen Minyak Syarikat Koperasi Peladang (10 Ogos), Stesen Minyak Syarikat Sungai Bakong Lumut (12 Ogos) serta Daerah Tutong bagi Stesen Minyak Syarikat PHA Bakar bin Jambol pada 21 Ogos.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Eko-sistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi menyatakan akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.
Menurut Unit SDT, langkah tersebut selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 15, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT dikehendaki ke atas penggunaan alat sukatan dan timbangan bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula 9 pagi hingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya sekitar dua jam. Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Unit SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092.