Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Lapan buah syarikat dan seorang individu warga Bangladesh telah dikenakan kompaun semasa Operasi Bersepadu Bersih 16/2020 pada 29 Ogos lalu di kawasan Kampung Anggerek Desa.
Operasi dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP), Kementerian Pembangunan dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran BSB, di sini, operasi bersepadu itu bermatlamat memastikan pematuhan akta-akta, perintah serta peraturan-peraturan berkaitan bidang kuasa autoriti-autoriti yang menyertai operasi berkenaan.
Kenyataan menyatakan bahawa tiga buah syarikat dikenakan kompaun $500 setiap syarikat apabila didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (f) (i) kerana meninggalkan kenderaan-kenderaan terbiar di kawasan bahu-bahu jalan berhampiran jalan awam berdekatan kawasan Perusahaan Industri Anggerek Desa, Kampung Anggerek Desa.
Manakala itu, dua buah syarikat juga dikenakan kompaun $500 apabila didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (d) kerana menumpahkan minyak, melonggokkan tayar terpakai dan membuang sampah di kawasan awam berdekatan kawasan Perusahaan Industri Anggerek Desa, Kampung Anggerek Desa.

Sementara itu, tiga buah lagi syarikat dikenakan kompaun $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) kerana melonggokkan bekas-bekas alat ganti kereta dan membuang sampah di kawasan awam berhampiran.
Individu warga Bangladesh berkenaan pula dikenakan kompaun $100 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) kerana membuang sampah di kawasan awam sekitar Perusahaan Ringan Anggerek Desa, Kampung Anggerek Desa.
Dalam kes berkenaan, syarikat-syarikat dan individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran BSB dalam tempoh masa tujuh hari.
Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000, manakala itu, kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
Kenyataan itu menyatakan bahawa hasil operasi itu, JBP mendapati pili bomba dihalang oleh kenderaan awam yang diletakkan oleh salah sebuah bengkel kereta selain peralatan alat pemadam api didapati sudah mansuh yang mana alat berkenaan adalah sebagai tindakan awal jika berlaku kebakaran.
Kenyataan juga menyatakan pengubahsuaian atau tambahan struktur bangunan tidak memenuhi piawaian garis pandu Piawaian Brunei Darussalam 2012 (PBD12) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan.
Menurut laporan daripada pegawai JKP selaku autoriti yang berkuasa, beberapa buah unit premis didapati menyimpan kenderaan-kenderaan rosak di luar had kawasan yang ditetapkan dan pihak jabatan memberi teguran dengan memberi tempoh 14 hari untuk memindahkan kenderaan-kenderaan berkenaan.
Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel Info@123.gov.bn.