Wednesday, July 16, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan terbunuh dalam nahas belon udara panas

    SAO PAULO, 22 JUN – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh kelmarin, apabila sebuah belon udara panas yang membawa 21 penumpang terbakar di selatan Brazil, menurut kenyataan daripada gabenor negeri.

    Ini merupakan kemalangan maut kedua melibatkan belon udara panas di negara Amerika Selatan itu dalam tempoh kurang seminggu.

    “Lapan maut dan 13 terselamat,” kata Gabenor negeri Santa Catarina, Jorginho Mello, menerusi platform X.

    Rakaman video yang diambil oleh orang awam dan disiarkan oleh televisyen Brazil menunjukkan detik cemas ketika belon itu terbakar di udara di kawasan luar bandar berhampiran bandar pelancongan Praia Grande, yang terkenal dengan aktiviti belon udara panas.

    Bakul belon udara panas yang membawa penumpang itu jatuh dari ketinggian berpuluh-puluh meter dalam keadaan marak api. Beberapa rakaman lain menunjukkan ada penumpang yang melompat keluar.

    Seorang anggota keselamatan berjalan berhampiran bangkai belon udara panas yang terbakar dan terhempas di selatan Brazil, pada 21 Jun. – AFP

    Kesemua 13 mangsa yang terselamat telah menerima rawatan di hospital, menurut pihak bomba.

    Menurut pegawai di Hospital Our Lady of Fatima, daripada lima mangsa yang dirawat di sana, tiga berada dalam keadaan stabil dengan kecederaan ringan dan dua telah pun dibenarkan keluar.

    Maklumat mengenai mangsa terselamat yang lain belum dapat diperoleh ketika ini.

    Siasatan telah dilancarkan bagi menentukan punca kemalangan tersebut. Keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan cerah dan tidak berangin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda