PHNOM PENH, 20 DIS – Lapangan Terbang Antarabangsa Dara Sakor yang baru dibina di wilayah Koh Kong, barat daya Kemboja, dijadualkan memulakan operasi penerbangan sewa domestik pada minggu depan, menurut jurucakap penerbangan awam hari ini.
Setiausaha Negara dan Jurucakap Sekretariat Penerbangan Awam Kemboja (SSCA), Sinn Chanserey Vutha berkata penerbangan ujian domestik pertama akan diadakan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dara Sakor pada 26 Disember.
Beliau menambah Mao Havannall, Menteri yang bertanggungjawab ke atas SSCA, dijangka menyambut penerbangan sewa domestik pertama di lapangan terbang tersebut pada hari itu.
“Ia akan menandakan perjalanan pertama ke kawasan pesisir provinsi Koh Kong di Kemboja dengan menggunakan pesawat,” kata Chanserey Vutha dalam satu kenyataan akhbar.
“Ia sekali gus akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ekonomi, pelancongan dan industri di wilayah Koh Kong khususnya, serta di Kemboja secara amnya,” tambahnya.
Menurut jurucakap itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Dara Sakor akan dibuka untuk penerbangan sewa antarabangsa jika terdapat permintaan.
Terletak di daerah Kiri Sakor dan Botum Sakor, lapangan terbang tersebut merangkumi kawasan seluas 218 hektar pada fasa pertama dan telah dilaburkan oleh Coastal Airport Investment Co., Ltd. dengan jumlah kira-kira AS$200 juta. – Xinhua