Saturday, February 1, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapangan Terbang Dubai catat rekod 92 juta penumpang pada 2024

    DUBAI, 31 JAN – Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mencatat rekod baharu dengan 92.3 juta penumpang tahun lalu, menurut pengendalinya kelmarin, sekali gus meneruskan momentum pemulihan pasca pandemik yang mencerminkan pertumbuhan ekonomi bandar itu.

    Dubai Airports menyatakan angka itu mengatasi rekod terdahulu sebanyak 89.1 juta penumpang pada 2018, meskipun berdepan ketegangan serantau susulan konflik di Gaza serta banjir luar biasa pada April tahun lalu yang menjejaskan operasi penerbangan.

    Dubai, yang terletak di antara Asia, Eropah dan Afrika, terus mengekalkan kedudukannya sebagai hab penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia selama sedekad.

    Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Airports, Paul Griffiths, berkata lapangan terbang itu masih menikmati manfaat daripada pemulihan pantas Dubai selepas pandemik COVID-19, apabila bandar itu segera membuka sempadannya dan syarikat penerbangan nasional, Emirates, kembali mengaktifkan armadanya.

    “Kami bersedia untuk bertindak sebaik sahaja pasaran kembali pulih,” katanya dalam temu bual bersama AFP.

    “Kami berjaya kembali ke kapasiti penuh, menarik syarikat penerbangan baharu dan mencatat pertumbuhan dua digit dalam kebanyakan sektor sepanjang tahun lalu hasil usaha tersebut,” tambahnya.

    Sebagai pusat perdagangan, pelancongan dan perniagaan, Dubai turut menyaksikan harga hartanah mencapai rekod tertinggi serta pertumbuhan populasi pesat, didorong oleh inisiatif UAE untuk mempelbagaikan ekonominya daripada kebergantungan kepada minyak.

    Menurut laporan impak ekonomi yang diterbitkan oleh Emirates dan Dubai Airports pada Oktober lalu, sektor penerbangan menyumbang lebih suku daripada KDNK Dubai pada 2023, iaitu sebanyak 27 peratus. – AFP

    Griffiths ketika bercakap kepada Associated Press di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, pada 30 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda