LONDON, 1 OGOS – Lapangan Terbang Heathrow di London hari ini, mendedahkan pelan pengembangan bernilai 49 bilion pound (AS$65 bilion), termasuk kos pembinaan landasan ketiga yang telah lama dinantikan, yang telah diluluskan oleh kerajaan United Kingdom (UK) selepas pertikaian undang-undang bertahun-tahun.
Landasan itu dijangka menelan belanja 21 bilion pound, dengan penerbangan pertama dijangka bermula dalam tempoh sedekad.
Manakala, baki pelaburan yang dibiayai secara swasta akan digunakan untuk mengembangkan dan memodenkan lapangan terbang tersebut.
Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Eropah dari segi jumlah penumpang, berkata pelan pengembangan itu akan menyediakan sekurang-kurangnya 30 laluan baharu setiap hari, lebih banyak sambungan domestik dan masa penerbangan yang lebih efisien.
Kapasiti yang meningkat itu bakal hampir menggandakan jumlah penumpang tahunan daripada 84 juta ketika ini kepada sehingga 150 juta penumpang setiap tahun.
“Sudah tiba masanya dan sangat mendesak untuk mengembangkan Heathrow,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Thomas Woldbye.
“Kami beroperasi pada kapasiti maksimum, yang memberi kesan negatif kepada perdagangan dan kesalinghubungan,” tambahnya.
Walaupun mendapat tentangan hebat daripada aktivis alam sekitar dan penduduk tempatan, Datuk Bandar London, Sadiq Khan dan beberapa Ahli Parlimen Parti Buruh, kerajaan Buruh menyokong pembinaan landasan baharu itu pada Januari lalu sebagai usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi UK. – AFP


