ISTANBUL, 21 MAC – Lapangan Terbang Heathrow di United Kingdom terpaksa ditutup selepas kebakaran berlaku di sebuah stesen janakuasa elektrik yang membekalkan tenaga ke kemudahan itu, lapor agensi Anadolu (AA).
Dalam kenyataan di platform X, pihak pengurusan Heathrow memaklumkan bahawa penutupan akan dikuatkuasakan sehingga 11:59 malam 21 Mac demi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak ke lapangan terbang dan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk maklumat lanjut.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.
Heathrow adalah antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, mengendalikan berjuta-juta penumpang setiap tahun.
Penutupan itu dijangka menyebabkan gangguan besar terhadap jadual penerbangan serta perjalanan penumpang. – Bernama
