HONG KONG, 28 NOV – Hong Kong memulakan operasi penerbangan di landasan ketiganya hari ini, dengan pegawai menyatakan bahawa ia akan memastikan lapangan terbang kota itu kekal berdaya saing sebagai hab penerbangan meskipun pemulihan pasca pandemik perlahan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong masih merupakan antara lapangan terbang yang paling sibuk di dunia, namun jumlah penerbangan belum kembali ke tahap sebelum COVID-19 dan ia telah ketinggalan di belakang pesaing serantau seperti Singapura dan Korea Selatan dalam trafik penumpang.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berkata kapasiti lapangan terbang akan “bertambah dengan ketara” dengan adanya landasan baru ini.
Landasan ketiga itu dijangka membolehkan lapangan terbang mengendalikan 120 juta penumpang dan 10 juta tan kargo setiap tahun menjelang 2035, kata pihak berkuasa.
Projek yang menelan kos HK$142 bilion (AS$18 bilion) itu mendapat perhatian ekoran impak alam sekitar yang besar, selain menimbulkan kontroversi berhubung pertikaian buruh dan kes rasuah melibatkan subkontraktor.
Para pemerhati mempersoalkan sama ada kapasiti yang meningkat itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, memandangkan kedatangan pelancong masih rendah berbanding tahap sebelum pandemik.
Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific, berkata minggu ini bahawa ia akan mencapai 100 peratus penerbangan pra-pandemik pada bulan Januari.
Lee berkata hari ini bahawa lapangan terbang yang di naik taraf itu akan membantu Hong Kong memperbaiki hubungan dengan bandar-bandar di sekeliling China, sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan Beijing untuk rantau itu.
Sebahagian daripada bangunan penumpang yang diperluas yang berkaitan dengan landasan ketiga dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2025. – AFP