PARIS, 9 JULAI – Kebakaran hutan yang merebak dengan pantas akibat dibadai angin sekencang 70 kilometer sejam memaksa Lapangan Terbang Marseille Provence di selatan Perancis ditutup dan semua penerbangan digantung, menurut pihak berkuasa tempatan kelmarin, lapor Xinhua.
Menurut perkhidmatan bomba, kebakaran bermula berhampiran kawasan Les Pennes Mirabeau, di utara Marseille dan kini menjejaskan kira-kira 30 hektar tanah.
Seramai 168 anggota bomba, bersama 68 jentera bomba dan dua helikopter, dikerahkan untuk mengawal kebakaran.
Pihak berkuasa wilayah Provence-Alpes-Cote d’Azur mengeluarkan arahan keselamatan kecemasan di platform media sosial X (Twitter), menggesa penduduk untuk kekal berada di dalam rumah, menutup tingkap dan pintu, memastikan laluan kecemasan tidak dihalang dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu di kawasan terjejas. – Bernama
