TOKYO, 26 MEI – Lapangan Terbang Narita di Tokyo telah memulakan pembinaan landasan ketiga bagi menampung lonjakan ketibaan pelancong asing yang semakin meningkat.
Projek yang dimulakan kelmarin itu dijangka membolehkan Narita mengendalikan 500,000 pendaratan dan pelepasan setahun menjelang 2029, berbanding 300,000 ketika ini.
Narita, yang terletak kira-kira sejam perjalanan dengan kereta api dari Tokyo, merupakan salah satu daripada dua pintu masuk antarabangsa utama ke ibu negara Jepun, selain Lapangan Terbang Haneda.
Pengembangan tersebut turut merangkumi pemanjangan landasan kedua dan hampir menggandakan saiz keseluruhan lapangan terbang.
Ketua Pegawai Eksekutif Narita, Akihiko Tamura berkata projek itu penting untuk meningkatkan daya saing antarabangsa Jepun.
“Adalah menjadi keutamaan untuk memperkukuh fungsi lapangan terbang bagi meningkatkan daya saing antarabangsa Jepun dan wilayah metropolitan Tokyo, menarik lebih ramai pelawat asing, serta memacu pembangunan kawasan sekitar lapangan terbang,” katanya semasa majlis perasmian kelmarin.
Jumlah pelancong yang tinggi setiap bulan menyuntik tenaga kepada ekonomi Jepun yang rapuh, namun turut menyebabkan kesesakan di lokasi tumpuan seperti Kyoto.
Kerajaan menyasarkan kehadiran hampir dua kali ganda pelancong kepada 60 juta orang setahun menjelang 2030.
Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, Jepun menerima 14.4 juta pelawat, meningkat 24.5 peratus berbanding tahun lalu. – AFP
