Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapor jika peruncit jual produk ada cacing

    TUARAN, 1 Julai – Pengguna di Sabah diminta membuat laporan ke Pejabat Kesihatan berhampiran sekiranya mendapati masih ada peruncit menjual jenama produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi cacing.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi berkata ini penting bagi membolehkan pihak jabatan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan berhubung perkara itu.

    “Jabatan Kesihatan Sabah turut menjalankan pemeriksaan amaran makanan mengenai kehadiran cacing dalam ikan sardin (dalam tin) yang diimport daripada luar negara. Kita sudah mengetahui jenama produk itu dan meminta penjual menarik balik produk terbabit daripada dipamerkan untuk jualan.

    “Bagaimanapun, pengguna boleh membuat laporan ke pejabat kesihatan berhampiran jika masih ada penjual atau peruncit yang tidak mengambil tindakan berbuat demikian atau terbeli produk (ikan sardin dalam tin) jenama lain dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Pada 14 Mei lepas, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia dilaporkan menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia di dalam sampel tin sardin dari China jenama RANESA.

    Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan terdapat enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

    Beliau berkata Enam produk ikan sardin berkenaan adalah jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

    Sementara itu, para pengguna di Lahad Datu dinasihatkan melapor kepada pihak penguatkuasa jika terdapat lapan produk ikan sardin dalam tin yang diarah tarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih dijual di pasaran.

    Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Lahad Datu, Rino Hisham Abu Bakar berkata laporan boleh disalurkan kepada pihaknya atau KKM yang seterusnya membantu melindungi pengguna.

    “Pengguna juga boleh memaklumkan terus atau menegur peniaga yang mungkin terlepas pandang mengenai arahan KKM itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda