BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Berikutan laporan mengenai sejumlah pelanggan yang menerima panggilan daripada nombor antarabangsa, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) memberi jaminan bahawa pembekal-pembekal perkhidmatan telekomunikasi sedang bekerjasama menangani situasi berkenaan.
AITI dalam kenyataannya menyatakan, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk melindungi kepentingan pelanggan, orang ramai dinasihatkan supaya memaklumkan pembekal perkhidmatan telekomunikasi masing-masing jika menerima sebarang panggilan mencurigakan dengan menghubungi talian 151 bagi DST Care, 177 bagi Progresif Customer Care dan 111 bagi imagine Customer Care.
Memberikan butiran mengenai panggilan berkenaan akan dapat membantu situasi berkenaan, tambah kenyataan.
AITI menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada apabila menjawab panggilan daripada nombor-nombor tempatan atau antarabangsa yang tidak dikenali.
Jangan sekali-kali memberikan butiran peribadi melalui telefon kerana, jelas kenyataan, pembekal perkhidmatan telekomunikasi tidak akan pernah meminta butiran pelanggan melalui telefon.
Jika mana-mana pelanggan telah memberikan butiran peribadi kepada apa yang mereka percayai merupakan panggilan palsu, mereka digalakkan untuk menghubungi Pasukan Polis Diraja Brunei bagi membuat laporan rasmi.
Sementara itu, dalam kenyataan yang berasingan, AITI turut menasihatkan orang ramai berwaspada dengan mesej spam tular yang mengandungi mesej manfaat kewangan yang lumayan dengan pautan ke ruang sembang dan laman Internet yang terlibat dalam aktiviti perjudian.
AITI turut menjelaskan bahawa mesej-mesej spam berkenaan ditularkan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), platform-platform media sosial seperti Faceook dan aplikasi sembang seperti WhatsApp, WeChat dan Telegram.
Mesej-mesej berkenaan bia-sanya dihantar menerusi nombor-nombor telefon dengan kod negara yang menunjukkan bahawa ia berasal dari negara luar.