Lapor polis jika nampak pemilik kod merah, unggu di luar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Orang ramai disarankan untuk membuat laporan ke balai polis jika mendapati mereka yang mempunyai kod BruHealth berwarna merah atau ungu berada di tempat awam.

Perkara itu ditegaskan lagi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau mengingatkan, jika individu yang mempunyai kod BruHealth yang ditegah berada di luar akan dikenakan kompaun $5,000 atau dibawa ke mahkamah.

Menjelaskan mengenai terdapat beberapa premis yang masih menggunakan buku catatan pendaftaran selain menyediakan imbasan QR sebelum memasuki premis, Yang Berhormat Dato berkata, jika mereka yang tidak mempunyai BruHealth digalakkan untuk mendaftar menggunakan buku catatan.

“Kerana jika berlaku sesuatu, kami akan merujuk kepada buku pendaftaran masuk tapi masih digalakkan orang ramai untuk memiliki BruHealth bagi memudahkan lagi pengawalan,”
jelasnya.

Mengulas mengenai varian Delta setelah melihat cara penularan yang sangat mudah dan cepat merebak, beliau berkata, pengawalannya masih sama.

Katanya, “Apa juga langkah yang dikeluarkan perlu diikuti terutama untuk ‘teranah di rumah’ kerana kita berada dalam semi lockdown dan semakin ramai orang tinggal di rumah, semakin baik selain mengambil vaksin kerana ia adalah penting dari yang lain.”