Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, hari ini, telah menerima Laporan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) bagi 2023.
Laporan disampaikan oleh Pengerusi ABAC Brunei dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK, Dayang Hafimi binti Abdul Haadii di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ABAC Brunei, laporan itu mengandungi
cadangan ABAC kepada pemimpin-pemimpin APEC yang dibangunkan menerusi pelan kerja ABAC 2023 bertema Equity. Sustainability. Opportunity.
ABAC telah mengenal pasti pelbagai tindakan konkrit yang boleh memajukan ekuiti dengan menjadikannya lebih mudah bagi kumpulan-kumpulan dengan potensi yang belum diterokai termasuk perniagaan-perniagaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana, usahawan asli dan wanita, untuk terlibat sama dalam perniagaan.
Cadangan-cadangan berkenaan akan disampaikan secara formal pada Dialog Tahunan Pemimpin-pemimpin APEC ABAC pada 16 November di San Francisco, Amerika Syarikat.

Dayang Hafimi berkata sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam dan keinginan sektor swasta untuk mengakses lebih banyak pasaran global dan serantau, penyertaan Brunei dalam APEC boleh dipertingkatkan lagi dengan ratifikasi CPTPP bersama-sama dengan laluan lain ke FTAAP.
Beliau menyatakan inisiatif ABAC Brunei bagi ABAC 2023 dan dalam menyokong tema keterangkuman pengerusi adalah berusaha ke atas Kerangka PMKS Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir (ESG) yang akan menyokong kemampanan PMKS.
ABAC pada 2023 telah menyampaikan dan menggerakkan beberapa cadangan praktikal untuk menyokong kit alat rantaian bekalan PMKS, kit alat sekuriti siber, hubungan perdagangan digital merentas sempadan, yang merupakan antara penyelesaian praktikal yang boleh digunakan di dalam dan luar rantau APEC.
Matlamat cadangan-cadangan ABAC adalah untuk mengembangkan ekuiti melalui dasar yang digubal dengan baik dan pembangunan kapasiti bagi mengatasi cabaran-cabaran gangguan digital, perubahan iklim, pandemik, perlindungan dan kuasa-kuasa menggugat kestabilan yang lain seperti inflasi dan meningkatnya kos rantaian bekalan yang dihadapi oleh kumpulan-kumpulan yang potensi mereka belum diterokai termasuk wanita, PMKS, warga asli dan mereka daripada masyarakat pedalaman dan terpencil.
Ia juga bermatlamat untuk mengukuhkan kolaborasi bagi mempromosikan kemampanan alam sekitar dan menangani perubahan iklim serta untuk menjana peluang ekonomi dengan memperkemas peraturan dan meningkatkan akses kepada pasaran, teknologi dan modal, sambil bergerak maju ke arah Kawasan Bebas Perdagangan Asia Pasifik yang diselaraskan dengan perkembangan bermakna dalam laluan memudahkan perdagangan yang lain.

