Oleh Prof Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail, Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Dr Rozaiman bin Makmun, Dr Nani Suryani binti Haji Abu Bakar, Pengiran Dr Hajah Siti Norainna binti Pengiran Haji Besar, Dr Hajah Suraya binti Haji Tarasat, Dr Siti Noor Naasirah binti S.Abdullah Teo, Hajah Suziyati binti Mohamad Ali
SIRI 4
PIHAK kerajaan Brunei telah mengundang dua pakar pendidikan dari Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1959, iaitu Aminuddin Baki dan Paul Chang. Mereka ditugaskan untuk mengkaji perlaksanaan sistem pendidikan Brunei. Hasil kajian ini dikenali sebagai ‘Laporan Aminuddin Baki dan Paul Chang 1959’.
Salah satu cadangan dalam laporan ini adalah supaya kanak-kanak daripada semua bangsa disatukan di bawah satu Sistem Pendidikan Kebangsaan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sistem ini dijangka boleh menjadi wadah perpaduan kepada semua lapisan rakyat yang terdiri dari berbilang kaum, keturunan dan ugama.
Bibit-bibit perpaduan sudah sewajarnya disemai sejak kecil lagi dan tempat yang paling sesuai menyemainya adalah di sekolah kerana di sinilah percampuran dan pergaulan di kalangan kaum berlaku. Hal ini dicadangkan kerana kedua-dua penyelidik tersebut mendapati bahawa sistem pendidikan Brunei pada masa itu dilaksanakan dalam aliran bahasa yang berlainan.
Laporan ini juga mengemukakan pandangan, supaya sistem pendidikan Brunei mengarah ke arah mengeluarkan sumber tenaga manusia Brunei yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran yang amat diperlukan dalam berbagai bidang seperti pentadbiran, perdagangan, perindustrian dan sebagainya.
Hal ini disarankan kerana mereka mendapati sistem pendidikan yang ada, berciri menekan dan terapung-apung tanpa ada hala tuju yang jelas. Ia tidak menjurus kepada melahirkan generasi muda Brunei yang bakal memiliki kepakaran dalam berbagai bidang. Sedangkan perkara ini dikehendaki oleh setiap negara membangun seperti Brunei.
Dasar pendidikan negara 1962
Laporan Aminuddin Baki dan Paul Chang, kemudiannya telah dinilai dan dibincangkan oleh Jawatankuasa Mengkaji Pelajaran Brunei. Akhirnya jawatankuasa ini berjaya mengeluarkan satu dasar pendidikan baru yang dikenali sebagai Dasar Pendidikan Negara pada 31 Oktober 1962.
Oleh kerana kandungan dasar baru ini diserap daripada Laporan Aminuddin Baki dan Paul Chang, maka matlamat utama pendidikan dalam dasar baru ini sama dengan tujuan yang dikemukakan dalam laporan tersebut.
Dasar Pendidikan Negara 1962 atau Dasar Pendidikan 1962 boleh dikatakan dasar pelajaran pertama bagi Brunei yang paling jelas kandungan dan matlamatnya berbanding dengan Dasar Pendidikan 1954. Antara perkara baru dalam dasar ini ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah Brunei. Ia juga mahu menyatukan sekolah-sekolah yang berlainan aliran bukan sahaja menjadi satu aliran, malahan menyatukan sistem pendidikan dan kurikulumnya.
Dasar ini juga mahu agar peluang mengikuti pendidikan formal diberikan kepada semua lapisan rakyat Brunei tanpa mengehadkan hanya satu kaum, seperti mana Dasar Pendidikan 1954 yang cuma membatasi kepada anak-anak Melayu. Dasar Pendidikan 1962 ini juga mencadangkan supaya pendidikan menjadi wadah memupuk nilai-nilai jati diri generasi muda yang taat kepada Sultan dan negara.
Meskipun Dasar Pendidikan 1962 mempunyai buah fikiran yang bernas, namun sebahagian kandungannya menghadapi cabaran untuk direalisasikan ke dalam sistem pendidikan Brunei pada ketika itu. Salah satu sebab kegagalan dasar ini ialah berlaku Revolusi 1962 yang dicetuskan oleh Parti Rakyat Brunei pada 8 Disember 1962.
Apabila pemberontakan berlaku kekacauan tidak dapat dielakkan. Malah ada sekolah yang telah digunakan oleh pasukan tentera sebagai markas dan pusat tahanan kepada para pemberontak yang ditangkap atau menyerah diri. Implikasinya operasi pendidikan Brunei terencat seperti mana yang berlaku di era pendudukan tentera Jepun. Tambahan lagi, jentera pentadbiran kerajaan pada masa itu sibuk memfokuskan lebih perhatian kepada memulihkan keamanan negara.
Peranan Malaysia dalam menghadapi cabaran perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara 1962 juga tidak boleh dinafikan. Ia mempunyai hubungan dengan tindakan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu mengutarakan cadangan kepada kerajaan Sarawak, Brunei dan Sabah pada bulan Mei 1961 untuk bergabung di bawah gagasan Persekutuan Malaysia.
Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien meneliti dengan berhati-hati cadangan ini, biarpun Baginda mengatakan pada dasarnya Brunei bersetuju untuk menyertai Malaysia, jika dasar persekutuan itu bersesuaian dengan kehendak Brunei dan boleh mendatangkan faedah.
Baginda begitu berhati-hati dan mengamalkan dasar ‘tunggu dan lihat’ dalam membuat keputusan mengenai perkara ini. Baginda juga sepertinya mengikut perambahan orang Brunei, ‘dimalamkan dulu’ kerana ia membabitkan masa depan negara.
Pemimpin Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menyertai gagasan Malaysia, tetapi Brunei akhirnya menolaknya pada 9 Julai 1963. Berbagai teori telah dikemukakan oleh para pengkaji sejarah, mengapa Brunei menolak tawaran tersebut? Ada yang mengatakan jawatan Yang Dipertuan Agung tidak ditawarkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Ada pula berpendapat Malaysia terlalu tinggi meminta bayaran tahunan kepada Brunei iaitu sebanyak $60 juta setahun untuk diberikan kepada kerajaan pusat, dan minyak Brunei juga akan menjadi milik kerajan pusat setelah sepuluh tahun bergabung dalam Persekutuan Malaysia.
Ada juga yang mengatakan Brunei tidak masuk Malaysia disebabkan adanya pengaruh British. Penolakan Brunei atas tawaran untuk menyertai Malaysia, telah mendatangkan kemarahan kepada Tunku Abdul Rahman, lantas Tunku bertindak menarik balik pegawai-pegawai dan guru-guru Malaysia yang dipinjamkan untuk berkhidmat di Brunei. Kesan daripada penarikan ini, pentadbiran awam Brunei menghadapi cabaran untuk dihadapi dan masalah untuk diselesaikan.
Pada mengatasi cabaran masalah pentadbiran awam Brunei, Sultan meminjam pegawai-pegawai British untuk mengambil alih jawatan pegawai-pegawai Malaysia yang telah dikosongkan. Kepupusan pegawai-pegawai dan guru-guru dari Malaysia ini menyebabkan Brunei bukan sahaja berhadapan dengan hambatan pentadbiran awam tetapi juga mengalami kesulitan untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Negara 1962.
Pada saat ini bantuan Malaysia sangat diperlukan bagi merealisasikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di negeri ini. Kedudukan bahasa ini semakin rumit apabila pegawai-pegawai British yang berkhidmat di Brunei semakin ramai. Maknanya penggunaan Bahasa Inggeris semakin dominan. Dalam melaksanakan perkara ini juga Brunei tidak hanya memerlukan tenaga pengajar bahkan sistem peperiksaan, kurikulum, buku-buku teks juga memerlukan kerjasama erat dari Malaysia.
Sementara itu Brunei tidak mahu mengikut corak pendidikan Indonesia kerana masalah sistem, bahasa dan istilah yang jauh berbeza dengan negara ini. Tambahan pula pada ketika itu kerajaan masih rasa terkilan dengan sikap Indonesia yang terang-terangan menghulurkan sokongan kepada Parti Rakyat Brunei yang mencetuskan revolusi.
Brunei juga merasa kurang senang dengan negara tersebut apabila Syeikh Azahari, pengerusi Parti Rakyat Brunei diberikan suaka politik. Jadi pada masa itu hubungan Brunei dengan Indonesia berada dalam keadaan kurang kondusif. Oleh itu perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara 1962 mengalami cabaran terutama bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Bersambung minggu depan…