Pelakon Bollywood, Saif Ali Khan ketika ini sedang berpulih daripada menjalani pembedahan selepas ditikam semasa insiden percubaan rompakan yang berlaku di rumahnya di Mumbai, baru-baru ini.
Bagaimanapun, selepas 48 jam siasatan, cap jari Shariful Islam, suspek yang ditahan berkaitan dengan serangan terhadap Saif Ali Khan, tidak sepadan dengan 19 sampel awal yang dihantar ke biro cap jari Jabatan Siasatan Jenayah (CID), polis Mumbai memberitahu media bahawa laporan masih belum diterima.
Sumber menyatakan bahawa, memandangkan ramai individu yang berada di tempat kejadian ketika insiden berlaku, terdapat kemungkinan cap jari bertindih, dengan sebahagian sepadan dan sebahagian lagi tidak, lapor HM Online.
Pegawai juga mengesahkan bahawa mereka sudah mengumpulkan lebih daripada 200 sampel cap jari dari lokasi kejadian setakat ini.
Penolong Pesuruhjaya Polis (Wilayah Barat), Paramjit Singh Dahiya memberitahu pihaknya sedang mengumpul bukti kukuh dan siasatan masih diteruskan.
“Ini adalah siasatan berdasarkan petunjuk yang sedang dijalankan oleh pasukan DCP Zon IX dengan bantuan daripada Bahagian Jenayah.
“Setakat ini, kami sudah mengumpulkan bukti yang kukuh terhadap suspek dan siasatan masih diteruskan.
“Kami masih belum menerima sebarang laporan setakat ini,” katanya.
Tambahnya, suspek itu adalah individu sama berdasarkan beberapa bukti.
“Dia adalah suspek yang sama dan kami mempunyai bukti lisan, fizikal serta teknikal terhadapnya.
“Pengecaman wajah dan analisis cap jari adalah sebahagian daripada prosedur siasatan,” katanya. – Agensi