Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laporan Cavani kejutkan Tuchel

    SINGAPURA, 31 Julai – Thomas Tuchel berkata bahawa ‘permintaan terbesarnya’ adalah Edinson Cavani kekal di Paris Saint-Germain (PSG) selepas beberapa laporan telah mengaitkan penyerang itu ke Real Madrid.

    Tuchel kelihatan terkejut dengan minat Real terhadap Cavani, seperti yang dilaporkan oleh media Sepanyol, semasa dia mendengarnya selepas kemenangan 3-2 aksi persahabatan menentang Atletico Madrid di sini.

    “Ini adalah perasaan dan permintaan terbesar saya,” kata Tuchel apabila ditanya sama ada dia mahu Cavani kekal di PSG.

    “Saya telah bercakap dengan Edinson beberapa hari lalu, dia tidak menyebut apa-apa. Dia berkata bahawa dia tidak sabar untuk kembali, dia tidak sabar untuk menyertai kami untuk mencapai kesemua matlamatnya bersama pasukan.

    “Dia merupakan pemain utama bagi kami dan tidak terlintas di fikiran untuk melepaskannya.”

    Ketua jurulatih PSG, Thomas Tuchel menghadiri sidang media pada 27 Julai 2018. Tuchel kelihatan terkejut dengan minat Real terhadap Cavani, namun berharap penyerang itu kekal bersama pasukannya bagi musim depan. – AFP

    Beberapa laporan yang belum disahkan berkata juara Eropah, Real, berminat dengan Cavani sebagai pengganti Cristiano Ronaldo, yang telah menyertai Juventus dengan perjanjian bernilai 100 juta euro.

    Penyerang itu, salah seorang ahli jentera serangan ‘MCN’ di PSG bersama Kylian Mbappe dan Neymar, telah bersama PSG selama lima musim selepas berpindah dari Napoli.

    Penyerang berusia 31 tahun itu dilaporkan mengakui mempunyai masalah dengan Neymar, yang tiba dengan rekod dunia pada tahun lepas, tetapi berkata masalah dengan bintang Brazil itu sudah selesai.

    Tuchel, yang masih tanpa skuad penuh, di mana Marquinhos dijangka tiba hari ini dan Neymar sebelum perlawanan Piala Super Perancis hujung minggu ini menentang Monaco di Shenzhen, China.

    Pasukan kedua PSG telah tewas 3-1 kepada Bayern Munich dan 5-1 kepada Arsenal pada pra musim ini namun, jariangan lewat Virgiliu Postolachi ketika menentang Atletico telah memberikan Tuchel kemenangan pertama sebagai jurulatih PSG.

    “Kami bermain dengan penuh semangat dan mentaliti yang kuat menentang pasukan yang dikenali mempunyai mentaliti terbaik di dunia,” kata Tuchel.

    “Pemain muda menghasilkan permainan hebat di separuh masa kedua.

    “Mereka bermain dengan penuh semangat dan intensiti serta memberikan segala-galanya.”

    Pemain sayap Argentina, Angel Di Maria dan pemain antarabangsa Itali, Marco Veratti, bermain pada separuh masa pertama PSG, sementara Kevin Trapp diberikan tugas menjaga gawang berbanding pemain yang baru ditandatangani, legenda Itali, Gianluigi Buffon. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda