MOSCOW, 17 MAC – Pihak berkuasa Finland, yang dihubungi oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan telur di tengah-tengah kekurangan bekalan di negara itu enggan menyediakan telur kerana kemungkinan kesulitan dengan birokrasi dan pemeriksaan, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik laporan siaran Yle.
Pihak berkuasa AS sebelum ini meminta Denmark dan beberapa negara Eropah lain untuk mengeksport telur ke pasaran AS akibat kekurangan bekalan di negara itu.
Persatuan Ternakan Ayam Finland memberitahu Yle bahawa AS telah menghubungi pihak berkuasa Finland mengenai isu eksport telur. Pengarah eksekutif persatuan itu, Veera Lehtila memberitahu stesen penyiar pada Sabtu, yang beliau tidak melihat kemungkinan untuk mengeksport produk itu pada masa ini, kerana Finland belum mengadakan rundingan dengan AS mengenai akses pasaran. Proses yang panjang ini mungkin memerlukan pemeriksaan yang lama, katanya.
“Memulakan eksport bukanlah perkara yang mudah kerana tiada peraturan yang dipersetujui,” kata Lehtila seperti yang dipetik oleh Yle.
Ketua persatuan itu turut menegaskan bahawa Finland tidak mempunyai kebenaran untuk mengeksport telur ke AS, dan pelbagai proses birokrasi serta kajian diperlukan sebelum penghantaran telur boleh dilaksanakan memandangkan negara itu tidak pernah mengeksport produk berkenaan sebelum ini.
“Jutaan unggas terpaksa dimusnahkan di sana kerana selesema burung. Kami mempunyai empat juta ayam penelur secara keseluruhan di Finland. Jumlah yang boleh kami eksport tidak akan menyelesaikan kekurangan telur mereka,” kata Lehtila. – Bernama
