WASHINGTON, 14 APRIL – Presiden Donald Trump telah menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan pada Jumaat dan menyimpulkan, “Saya dalam keadaan baik,” sambil memuji kesihatan jantung, jiwa dan keupayaan kognitifnya sendiri, walaupun laporan perubatan daripada doktor Rumah Putih mungkin hanya siap hujung minggu ini.
Trump, 78, telah menjadi presiden tertua dalam sejarah Amerika Syarikat untuk mengangkat sumpah, menghabiskan hampir lima jam di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed menjalani apa yang beliau sebut sebagai “setiap ujian yang boleh dibayangkan.”
Beliau telah menaiki Air Force One sejurus selepas pemeriksaan untuk berlepas ke Florida bagi hujung minggu. Bercakap kepada wartawan ketika dalam penerbangan, Trump berkata doktor memberikan ‘sedikit’ nasihat tentang perubahan gaya hidup yang boleh meningkatkan kesihatannya, namun tidak menghuraikan lanjut.
Menurut Trump, “Secara keseluruhan, saya rasa saya dalam keadaan sangat baik. Jantung yang baik, jiwa yang baik, jiwa yang sangat baik,” kata Trump. Beliau juga menyatakan beliau menjalani ujian kognitif. “Saya tak tahu nak cakap apa, kecuali saya jawab semua soalan dengan betul.”
Laporan perubatan yang lengkap itu bakal menjadi maklumat umum pertama mengenai kesihatan Trump sejak percubaan pembunuhan terhadapnya di Butler, Pennsylvania, pada Julai lalu.
Dalam temu bual bersama CBS pada Ogos lalu, Trump berkata beliau “sangat bersedia” untuk mendedahkan rekod perubatannya, namun tidak pernah melakukannya.
Trump sejak dulu memilih untuk tidak banyak berkongsi maklumat terperinci mengenai kesihatannya. Manakala Dr. Bruce A. Aronwald turut mengeluarkan kenyataan, Trump berada dalam “keadaan fizikal dan mental yang cemerlang.” – AP
