TOKYO, 1 Julai – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un telah merayu kepada presiden China, Xi Jinping untuk membantu menamatkan sekatan ke atas Pyongyang selepas sidang kemuncak beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor akhbar Jepun hari ini, memetik pelbagai sumber tanpa nama di kedua-dua buah negara.
Kim mengemukakan permohonan tersebut ketika pertemuan ketiganya dengan Xi di Beijing pada bulan lalu, dan presiden China itu berjanji akan ‘berusaha sedaya upaya’ untuk memenuhinya, kata akhbar Yomiuri Shimbun.
“Kami rasa terseksa disebabkan sekatan ekonomi. Memandangkan kami telah mengakhiri sidang kemuncak AS-Korea Utara dengan berjaya, saya mahu China berusaha untuk membatalkan sekatan,” Kim dilaporkan memberitahu Xi, menurut akhbar tersbut. Dalam beberapa bulan ini, sekutu era Perang Dingin itu telah berusaha untuk memulihkan hubungan yang terjejas akibat ujian nuklear Pyongyang dan sokongan Beijing terhadap sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Kim memilih Beijing, penaung ekonomi utama dan pelindung diplomatik, untuk lawatan luar negara pertama beliau pada Mac lalu dan bertemu Xi sekali lagi pada Mei di bandar pelabuhan timur laut Dalian.
Kim meminta Xi supaya membantu membatalkan sekatan yang melumpuhkan ekonomi Utara, dan menggesa China supaya menyokong Pyongyang dalam rundingan pembatalan senjata nuklear dengan Washington, kata laporan itu. – AFP