Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 telah mengeluarkan Laporan Wawasan Brunei 2035 (2015-2022) yang mengongsikan perkembangan pelaksanaan dan pencapaian Wawasan Brunei 2035 bagi tempoh tahun 2015 hingga 2022.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, laporan tersebut telah disediakan dengan kerjasama kementerian-kementerian, agensi-agensi pelaksana dan pihak-pihak berkepentingan dalam mengongsikan data dan maklumat.
Di samping itu, laporan berkenaan juga memberikan gambaran mengenai trend, cabaran dan peluang masa depan dalam landskap dunia yang pantas berubah, semakin mencabar dan kompetitif. Ia sekali gus bertujuan bagi membantu semua pihak untuk lebih bersedia bagi kemunculan gelombang trend mega seperti Revolusi Industri ke-4 (IR 4.0), perubahan iklim, ekonomi digital yang dipacu oleh Internet of Things (IoT) dan sebagainya yang akan menawarkan peluang, cabaran mahupun norma baharu dalam negara menuju dan mencapai wawasan masa depan ini.
Kenyataan turut menyatakan bahawa secara keseluruhan, Negara Brunei Darussalam telah mencapai kemajuan yang menggalakkan ke arah mencapai ketiga-tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035. Walau bagaimanapun, masih ada ruang bagi penambahbaikan termasuk usaha-usaha yang perlu dipertingkatkan bagi memberikan impak transformatif kepada Wawasan Brunei 2035. Dalam meneruskan perjalanan menuju ke visi kebangsaan berkenaan, kerjasama dan komitmen padu daripada semua pihak perlu diteruskan bagi sama-sama menjayakan dan mencapai sasaran-sasaran Wawasan Brunei 2035 yang dihasratkan.