Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Sekretariat ASEAN telah melancarkan Laporan Mid-Term Review (MTR) bagi Blueprint Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 dengan sokongan daripada Sokongan Integrasi Serantau ASEAN (ARISE) Plus pada majlis yang diadakan secara maya, 28 April lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, Setiausaha Tetap (Ekonomi) di MOFE, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Abdul Ariffin dalam kapasitinya selaku ketua High-Level Task Force untuk Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) bagi Negara Brunei Darussalam telah dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran berkenaan sebagai salah seorang ahli panel.
Kenyataan menyatakan majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Joi; Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), TYT Satvinder Singh; Duta Besar Kesatuan Eropah ke ASEAN, TYT Igor Driesmans dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat F Dr Ar Siti Rozaimeriyanty binti DSLJ Haji Abdul Rahman selaku pengerusi ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) pada 2021.
Juga hadir ialah ketua-ketua HLTF-EI ASEAN, pegawai-pegawai kanan ekonomi ASEAN (SEOM), pegawai-pegawai kanan dari sektoral-sektoral AEC, Jawatankuasa Perwakilan Tetap (CPR), ASEAN-BAC dan Joint Business Councils (JBC), entiti yang berkaitan dengan ASEAN, Misi ke ASEAN dan para pegawai daripada Sekretariat ASEAN.
Dr Hajah May Fa’ezah, dalam ucapannya menyatakan pelancaran MTR itu adalah tepat pada masanya dan sangat signifikan dalam menilai pelaksanaan perkembangan AEC Blueprint dalam lima tahun kebelakangan dan memastikan ASEAN menuju ke arah yang betul dalam mencapai cita-cita jangka masa panjang menjelang 2025.
Beliau seterusnya menekankan kepentingan pelaksanaan matlamat masa hadapan hendaklah bercita-cita tinggi dan holistik bagi negara anggota ASEAN tanpa adanya jurang ekonomi yang besar di antara satu dengan yang lain dan pada masa yang sama memajukan lagi usaha yang kolektif dan tindak balas dasar untuk membina dan memupuk ekonomi yang lebih berdaya tahan.
AEC Blueprint 2025 telah diterima pakai oleh para pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-27 pada 22 November 2015 di Kuala Lumpur, Malaysia untuk mencapai wawasan AEC menjelang 2025.
Majlis pelancaran itu bertujuan untuk menaikkan tahap kesedaran dan pemahaman ASEAN dalam perkembangan yang telah dibuat selama separuh tahun pertama bagi pelaksanaan AEC Blueprint 2025, perkara-perkara yang perlu ditambah baik dan cadangan-cadangan untuk masa hadapan.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Laporan AEC MTR dan majlis pelancaran itu bolehlah melayari sesawang Sekretariat ASEAN di www.asean.org.
