LONDON, 31 Mei – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memberitahu pemilik kelab itu, Stan Kroenke bahawa dia akan menerima tawaran kontrak dua tahun kelab Liga Perdana itu.
Wenger bertemu pemegang saham majoriti Gunners, Kroenke dan ketua eksekutif Ivan Gazidis, untuk membincangkan masa depannya sebelum kontraknya mansuh bulan depan.
Pengendali dari Perancis berusia 67 tahun itu menerima kritikan teruk musim ini dengan para penyokong memintanya meletak jawatan selepas pasukan itu gagal layak ke Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.

Cadangan Arsenal untuk kemungkinan melantik pengarah sukan bagi bekerjasama dengan Wenger, telah mencetuskan spekulasi bahawa pengendali itu berkemungkinan menamatkan penguasaannya di kelab itu selama 21 tahun.
Namun selepas membawa Arsenal mencipta kemenangan hebat 2-1 pada final Piala FA menewaskan juara Liga Perdana, Chelsea, dengan Kroenke sendiri menyaksikannya dari tempat duduk penonton Ahad lalu, Wenger mengeluarkan kenyataan dia mungkin mahu terus kekal.
Akhbar Daily Mail serta Daily Mirror melaporkan Wenger memberitahu jutawan Amerika Syarikat itu bahawa dia mahu terus kekal di kelab utara London itu. – AFP