Larangan eksport dijangka jejas keseimbangan permintaan minyak dunia

PONTIAN, 24 APRIL – Langkah Indonesia melarang eksport minyak masak ke luar negara mulai Khamis depan, dijangka memberi impak besar kepada keseimbangan permintaan dan penawaran minyak dan lemak dunia.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata langkah baharu itu yang diumumkan pada Jumaat lepas, turut dijangka melonjakkan harga minyak sawit dan minyak pesaing lain di pasaran antarabangsa memandangkan Indonesia merupakan pengeluar dan pengeksport utama minyak
sawit di pasaran minyak dan lemak dunia.

Katanya pada tahun lepas sahaja, pengeluaran dan eksport minyak sawit Indonesia, masing-masing mewakili 59 peratus dan 56 peratus daripada pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia, yang secara keseluruhannya, eksport minyak sawit Indonesia mewakili 30 peratus daripada keseluruhan eksport minyak dan lemak dunia.

“Berdasarkan sumbangan besar Indonesia dalam pasaran minyak dan lemak dunia, langkah drastik yang diambil oleh Indonesia ini pastinya akan memberi kesan besar terhadap negara-negara lain di dunia terutamanya kepada negara-negara pengimport utama minyak sawit seperti China, India dan Kesatuan Eropah.

“Malaysia selaku negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, langkah yang diambil oleh Indonesia ini dijangka meningkatkan permintaan eksport ke atas minyak sawit Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Parlimen Tanjung Piai, di sini malam tadi. – Bernama

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin (dua, kiri) mengadakan lawatan ke kilang perabot Dynamic Furniture Sdn Bhd di Kompleks Perabot Olak Lempit Banting kelmarin. Turut hadir ialah Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng. – Bernama