CANBERRA, AUSTRALIA, 24 JUN — Hubungan dua hala antara Australia dan China semakin merosot empat tahun lalu apabila kerajaan Australia ketika itu melarang syarikat telekomunikasi milik China, Huawei daripada melancarkan rangkaian 5G di negara itu.
Larangan tersebut adalah disebabkan kebimbangan Australia terhadap isu keselamatan, kata seorang duta China kelmarin.
Duta China ke Australia, Xiao Qian telah menyampaikan ucapan umum yang jarang berlaku di Universiti Teknologi Sydney kelmarin. Ucapan beliau walau bagaimanapun berulang kali diganggu oleh penunjuk perasaan hak asasi manusia.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika China ingin memperbaiki hubungan diplomatik dengan menteri Australia berikutan pemilihan kerajaan baharu pada bulan lepas.
Hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara itu bertambah merosot pada awal 2020 sejurus selepas kerajaan Australia menggesa China untuk melaksanakan penyiasatan bebas mengenai asal usul dan tindak balas terhadap pandemik COVID.
Walau bagaimanapun, Xiao telah menekankan keputusan kerajaan Australia pada 2018 yang menyekat Huawei daripada pelancaran 5G Australia sebagai titik perubahan dalam hubungan itu.
Xiao juga berkata bahawa masih ada masa untuk kedua-dua buah negara memperbaiki hubungan supaya kedua-duanya dapat meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 21 Disember nanti. – AP