Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larangan media sosial tidak akan uji umur semua pengguna – Australia

    SYDNEY, 16 SEPT – Australia tidak akan memerlukan syarikat gergasi media sosial untuk sahkan umur semua pengguna di bawah larangannya terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun dalam menggunakan platform itu, menurut Canberra hari ini.

    Tetapi platform seperti Facebook, Snapchat, TikTok dan YouTube dijangka mengambil ‘langkah yang munasabah’ untuk menghalang kanak-kanak daripada mengakses aplikasi itu, katanya.

    Australia telah menjadi peneraju dalam usaha global untuk mencegah bahaya Internet, tetapi undang-undang semasa kurang jelas dengan butiran cara larangan dikuatkuasakan sekali gus  membimbangkan pakar bahawa ia hanya jadi perundangan simbolik yang mustahil dilaksanakan.

    Syarikat media sosial juga menyifatkan undang-undang itu sebagai ‘kabur’, ‘bermasalah dan ‘tergesa-gesa’.

    Menteri Komunikasi, Anika Wells berkata hari ini bahawa kumpulan media sosial perlu mengambil ‘langkah munasabah’ untuk mengesan dan menyahaktifkan pengguna bawah umur.

    “Kami tidak boleh mengawal lautan, tetapi kami boleh mengawal jerung dan hari ini kami menjelaskan kepada seluruh dunia bagaimana kami boleh melakukan ini,” katanya. “Tiada alasan untuk platform media sosial gagal memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang baharu.”

    Garis panduan kawal selia yang telah lama ditunggu-tunggu hari ini berkata platform media sosial perlu mengambil pendekatan yang ‘mempunyai banyak peringkat’ untuk semakan umur.

    Tetapi ketua pengawal selia dalam talian Australia, Suruhanjaya eKeselamatan, menerima hakikat bahawa “tiada penyelesaian tunggal” untuk benar-benar menguatkuasakan undang-undang yang pertama di dunia sedemikian.

    “Dengan mengambil pendekatan berlapis, platform boleh menguruskan risiko yang berkaitan dengan sebarang kesilapan dalam inferens atau anggaran umur,” kata Inman Grant.”Platform tidak perlu mengesahkan umur setiap pengguna Australia untuk mematuhinya.”

    Suruhanjaya eSafety akan dapat mendenda syarikat media sosial sehingga Aus$49.5 juta kerana gagal mematuhi peraturan.

    Satu kajian bebas yang diperintahkan oleh kerajaan Australia telah mendapati bahawa semakan umur boleh dilakukan “secara peribadi, cekap dan berkesan”, walaupun ia mengakui tiada penyelesaian tunggal yang sesuai dengan semua konteks. – AFP

    Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda