Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larangan mendatangi dan mempercayai tukang ramal

    Sambungan dari minggu lepas

    Sementara itu, ahli nujum dan yang seumpamanya, seperti orang yang meramal dengan cara mempergunakan batu-batu kecil, meneliti kitab-kitab dan menerusi (suara-suara) burung, bukanlah termasuk dari kalangan yang diredhai oleh Allah lalu memperlihatkan mana-mana yang dikehendakiNya daripada ilmu ghaibNya itu kepada mereka bahkan orang-orang berkenaan adalah kufur kepada Allah.

    Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa kunci perbendaharaan segala yang ghaib adalah pada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Segala yang ghaib pula tidak dimaklumkanNya secara keseluruhan kepada sesiapapun daripada hambaNya, tidak nabi, tidak rasul, tidak malaikat dan tidak jin atau manusia, tidak ada makhlukNya yang mengetahuinya secara lengkap, termasuklah lima anak kunci yang ghaib sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak sesiapa yang mengetahuinya melainkan Allah; (iaitu:) tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui apa yang akan terjadi pada esok hari kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui kandungan rahim yang kurang sempurna kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui bila akan turun hujan kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati (kecuali Allah). Dan tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui bila akan terjadi Hari Kiamat kecuali Allah.

    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Berdasarkan hadits di atas dapatlah disimpulkan bahawa di antara perkara yang ghaib kepada m anusia dari sudut hakikatnya berdasarkan maksud ayat di atas ialah pengetahuan tentang bila akan terjadi Hari Kiamat, ilmu tentang hakikat kandungan (janin) yang masih di dalam rahim, termasuk rezeki, nasib dan usianya, pengetahuan tentang apa yang akan dilakukan oleh seseorang di masa yang akan datang sekalipun pada esok harinya, kepastian bila hujan akan turun dan pengetahuan tentang di mana tempat kematiannya yang sebenar.

    Kesimpulannya, mempercayai ramalan tentang perkara ghaib, termasuk mempercayai ramalan untung nasib diri pada masa akan datang amatlah dilarang oleh Islam. Ini merupakan antara ciri jahiliyyah yang sepatutnya tidak lagi wujud dalam masyarakat Islam sekarang. Perbuatan mendatangi dukun, tukang ramal atau tukang tilik bagi mengetahui perkara-perkara ghaib lantas mempercayai apa yang ditilik atau diramalkan merupakan antara dosa besar yang disebutkan dalam banyak hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Dengan itu, manusia tetap terarah di landasan yang lurus iaitu mengesakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ramalan tidak berasas yang disebar tidak berlandas kajian ilmiah, seperti ramalan tentang nasib diri pada masa akan datang berdasarkan perjalanan bulan dan bintang kelahiran diri, sama tidak boleh dipercayai. Sebagai umat Islam, kita wajib percaya bahawa hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahajalah yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan jikapun diwahyukanNya pengetahuan mengenai perkara ghaib kepada rasul dan nabiNya yang terpilih, maka pengetahuan itu hanyalah sedikit sahaja.

    Foto Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda