Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) buat julung kalinya, hari ini menganjurkan aktiviti amal Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Kemalangan Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2019.
Aktiviti amal yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu berjalan 3km, berlari 6km dan berbasikal 12km.
Acara pelepasan peserta mengikut kategori itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Dalam acara itu, turut menyertai Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr
Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, selaku pengerusi MKKJR.
Acara larian amal itu turut disertai oleh setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, selain turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti permainan menarik bagi seisi keluarga.


Ini termasuk pameran dan aktiviti yang mempromosikan kesedaran mengenai amalan-amalan pemanduan selamat kepada orang ramai dan khususnya kepada para belia, yang mana merupakan salah satu kumpulan sasaran bagi MKKJR.
Pameran tersebut disertai oleh agensi-agensi yang berkepentingan dan yang memainkan peranan dalam keselamatan jalan raya.
Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan hasil kutipan acara larian yang mana sumbangan kepada YASKA Brunei diserahkan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, manakala kepada SMARTER Brunei diserahkan oleh Yang Berhormat Kesihatan dan kepada Demensia Brunei diserahkan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Selain itu, acara juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang peraduan mereka bentuk e-poster dalam Program Perkhemahan Belia iaitu Kumpulan Peneraju Bangsa, Future Generation, Belia Masjid Sufri Bolkiah dan Chicken Jo yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Pada tahun ini, Sambutan Hari Memperingati Mangsa-mangsa Kemalangan Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia membawa tema ‘Life is not a Car Part’.