Thursday, January 2, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian amal sokong YASKA Brunei

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Seramai lebih 100 orang peserta mengambil bahagian dan sama-sama memeriahkan lagi acara larian sambil beramal, BR Patrick Go! Fundraiser yang berlangsung di Pantai Serasa, hari ini.

    Acara larian amal yang dianjurkan oleh BR Patrick Agency berkenaan telah disertai sama oleh Pengurus Besar AIA Singapore Ptd Ltd (cawangan Brunei), Kenneth Ling dan Pengarah Daerah Utama BR-Patrick Agency, Patrick Pang.

    Larian amal itu mengetengahkan siri acara amal yang bermatlamat untuk mengutip dana bagi menyokong Yayasan Kanser Kanak-kanak Brunei (YASKA Brunei) iaitu acara Closed Run 130 kilometer (km) dan Fun Run 3km.

    Acara amal berkenaan dimulai dengan Closed Run 130km yang menyaksikan lima orang peserta larian berpengalaman iaitu Raymond Pang, Eric Pui, Jan Shim, Jin Ng dan Michelle Chong, melalui cabaran ketahanan larian yang merangkumi tiga buah daerah bermula dari Daerah Belait pada 5 Januari di Kompleks Harapan, pukul 10 malam dan sampai ke Daerah Brunei dan Muara pada 7 Januari di Pantai Serasa, pukul 8:45 pagi.

    Para peserta larian itu menyatakan perasaan gembira dan amat bersyukur kerana dapat menamatkan larian yang penuh mencabar sejauh 130km di mana mereka perlu melalui cuaca yang sukar diramal.

    Kenneth Ling (kanan), Patrick Pang (kiri) menyampaikan hasil kutipan acara larian amal berjumlah $40,000 kepada YASKA Brunei yang diterima oleh Dayang Tsara’ Nawwarah (tengah). – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Kenneth Ling dan Patrick Pang bergambar ramai bersama para peserta acara larian amal, BR Patrick Go! Fundraiser. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Sekumpulan lima orang pelari berpengalaman yang berjaya menamatkan acara larian Closed Run 130km. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Menurut mereka lagi, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, sokongan padu daripada setiap orang, keluarga dan juga rakan-rakan telah memberikan mereka semangat untuk mengharungi serta mengatasi rintangan dalam menamatkan larian amal berkenaan.

    Sementara itu, dalam acara Fun Run 3km, pelepasan para peserta telah disempurnakan oleh Patrick Pang di mana para peserta menyertai larian mengelilingi sekitar laluan di Pantai Serasa.

    Kempen larian amal berkenaan telah berjaya mengutip sumbangan berjumlah $40,000 melalui pendaftaran bagi larian Fun Run 3km serta sumbangan derma secara langsung dan dalam talian.

    Hasil kutipan berkenaan telah disampaikan bersama oleh Kenneth Ling dan Patrick Pang kepada Presiden YASKA Brunei, Dayang Tsara’ Nawwarah binti Abdullah Chen.

    Kejayaan acara larian amal berkenaan menunjukkan semangat kemasyarakatan dan solidariti yang sangat tinggi bagi mengetengahkan komitmen BR-Patrick Agency dan rakan-rakannya untuk memberikan impak positif kepada kehidupan mereka yang terkesan oleh kanser.

    Sumbangan ikhlas dan murah hati yang diterima melalui pelbagai saluran berkenaan setentunya menyumbang secara signifikan kepada usaha berterusan YASKA Brunei bagi menyokong kanak-kanak menentang kanser.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda