Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT- Lebih 1,200 orang peserta dari segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada keluarga, sahabat-handai, rakan sejawatan dan penggemar aktiviti riadah sama-sama hadir membuktikan komitmen mereka kepada kesihatan jantung dengan menyertai acara Brunei Run sempena Hari Jantung Sedunia 2025 yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Acara yang dihoskan oleh Gleneagles JPMC berkenaan, menyaksikan kehadiran dan penyertaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Gleneagles JPMC.
Turut hadir menyertai acara berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay menyatakan Hari Jantung Sedunia amat penting dalam menggalakkan kehidupan aktif, pemakanan seimbang dan sikap berwaspada terhadap simptom-simptom penyakit jantung.
Beliau menambah bahawa dengan mengetengahkan tema Don’t Miss a Beat, sambutan berkenaan mencerminkan kesan meluas kesihatan jantung kepada orang yang disayangi serta kepada masyarakat.
“Ia mengingatkan kita bahawa kesihatan jantung bukan sahaja tanggungjawab kita sendiri tetapi juga merupakan sesuatu yang menjejaskan orang yang kita sayangi dan juga masyarakat kita.”
Beliau seterusnya berkongsi inisiatif berterusan hospital, termasuk pelancaran Kempen Kesedaran Infarksi Miokardium Akut (AMI) baru-baru ini, yang bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang mengenali tanda amaran awal serangan jantung dan kepentingan mendapatkan rawatan perubatan segera.

“Dengan membawa kesedaran dan menggalakkan tindakan tepat pada masanya, kami berharap dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan beban penyakit kardiovaskular di Brunei,” ulas Dr Peter Tay lagi.
Ia juga mengukuhkan komitmen hospital terhadap penjagaan kesihatan pencegahan dan kesejahteraan masyarakat.
Majlis diteruskan dengan sesi memanaskan badan sebelum pelepasan acara-acara larian termasuk Kategori Kompetitif 10 km bagi Lelaki dan Wanita, 5km Fun Run dan 2.5km Fun Run yang menyaksikan penyertaan penuh bersemangat daripada para peserta.
Dalam Kategori kompetitif 10 km bagi Lelaki, tempat pertama dimenangi oleh Haqeem Darwish, tempat kedua ialah Mohd Abdul Azim, tempat ketiga ialah Mohd Adizul Fikri, tempat keempat ialah Muhd Zunaidi dan tempat kelima ialah Mohd Sukri.
Sementara itu dalam Kategori Kompetitif 10km bagi Wanita, tempat permata dimenangi oleh Linda Chin, tempat kedua ialah Aida Syazwana, tempat ketiga ialah Tho Siaw Khein, tempat keempat ialah Airince Liam dan tempat kelima ialah Siti Nur Amirah.

Majlis turut diserikan dengan acara cabutan bertuah yang mengetengahkan hadiah-hadiah menarik termasuk jam tangan kecergasan, Boeffi T4 treadmill walking pad dan Beoffi Fitto Back Masager tajaan Boeffi, baucar makan dan minum tajaan The Rizqun Coffeehouse, baucar kecergasan tajaan HSN Fitness serta traveling kit tajaan Peakflow.
Di sebalik keseronokan acara larian berkenaan, Larian Brunei Hari Jantung Sedunia 2025 mempunyai tujuan yang lebih besar iaitu untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan jantung yang sihat.
Acara berkenaan menggalakkan peserta dan masyarakat luas untuk mengamalkan gaya hidup aktif, pemakanan seimbang dan pemeriksaan kesihatan yang kerap serta sentiasa berwaspada terhadap tanda amaran awal penyakit kardiovaskular.
Tema Hari Jantung Sedunia 2025, Don’t Miss a Beat, menekankan kepentingan tanggungjawab individu, usaha komuniti kolektif dan tindakan pencegahan yang tepat pada masanya untuk mengekalkan kesihatan kardiovaskular.
Gleneagles JPMC terus memperjuangkan inisiatif berkenaan dengan menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan tabiat menyihatkan jantung, mengenali tanda amaran awal dan mendapatkan rawatan perubatan tepat pada masanya apabila diperlukan.



