Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian Hari Kebangsaan 11 Mac

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 tahun ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menganjurkan Larian Hari Kebangsaan ke-34 secara serentak di keempat-empat daerah pada 11 Mac 2018.

    KKBS dalam kenyataannya menjelaskan, acara larian akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi Daerah Brunei dan Muara, Taman Persiaran Jalan Sungai Kuala Belait bagi Daerah Belait, Kompleks Sukan Tutong bagi Daerah Tutong dan Bangunan Kompleks Perniagaan Bumiputera bagi Daerah Temburong.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, dua kategori larian akan dipertandingakan iaitu Kategori Lelaki Terbuka dan Kategori Wanita Terbuka dengan jarak 10 kilometer. Manakala itu, Kategori Fun Run Terbuka pula sejauh 4 kilometer.

    Bagi Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong pula, hanya Kategori Fun Run Terbuka sejauh 4 kilometer disediakan.

    Hadiah-hadiah yang disediakan bagi dua kategori pertandingan Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka tersebut adalah wang tunai $1,000 (pertama), $700 (kedua) dan $500 (ketiga) berserta pingat.

    Manakala itu, pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima wang tunai $400 dan $300.

    Acara larian ini dibukakan kepada semua rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam serta warganegara asing yang memegang kad pintar berwarna ungu dan hijau yang bekerja dan bermastautin di negara ini. Yuran penyertaan adalah $18 setiap seorang.

    Pendaftaran larian akan mula dibukakan esok (31 Januari) hingga 26 Februari depan (hari bekerja) bermula pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang. Borang penyertaan boleh didapati di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan daerah-daerah.

    Borang yang lengkap diisi berserta yuran pendaftaran hendaklah dikembalikan tidak lewat 26 Februari 2018 sebelum pukul 3:30 petang di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan cawangan JBS di daerah-daerah pada hari dan waktu bekerja sahaja.

    Sementara itu, pengambilan baju-T dan nombor bib bagi larian tersebut akan diadakan pada 8 dan 10 Mac pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang di Bilik Pentadbiran, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bagi Daerah Brunei dan Muara dan cawangan JBS di daerah-daerah.

    Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Urus Setia Larian Hari Kebangsaan ke-34, Bahagian Sukan, Jabatan Belia dan Sukan di talian 2382911/2381914 sambungan 1616/1632; 3340958 bagi JBS Cawangan Daerah Belait; 4260118 bagi JBS Cawangan Daerah Tutong dan 5221718 bagi JBS Cawangan Daerah Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda