Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Larian Jubli Emas sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Menaiki Takhta akan diadakan pada 12 November ini di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa sidang media di KKBS berkata, seramai 8,081 orang telah mendaftar bagi menyertai larian yang julung-julung kalinya diadakan.
Ia dianjurkan oleh KKBS bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan dan penglibatan semua kementerian yang lain serta Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam.
Katanya lagi, dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori Lelaki Terbuka dan Kategori Wanita Terbuka sejauh 10km, manakala itu, kategori yang tidak dipertandingkan adalah Kategori Fun Run Terbuka sejauh 4km.
Pendaftaran telah pun dibukakan di keempat-empat daerah bermula 10 hingga 28 Oktober lalu dan sambutan adalah sangat menggalakkan dengan seramai 6,202 orang telah mendaftar dari Daerah Brunei dan Muara, 569 dari Daerah Belait, 941 dari Daerah Tutong, dan 369 dari Daerah Temburong.

Jumlah berkenaan akan bertambah daripada penyertaan spontan akan memeriahkan lagi Larian Jubli Emas berkenaan.
Dato Paduka Haji Mohd Juanda juga berkata, acara larian berkenaan akan bermula dengan acara ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ di Masjid Omar Ali Saifuddien pada pukul 4:47 pagi.
Dijangka hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Pada pukul 6:30 pagi, acara diteruskan dengan sesi senaman pemanasan badan serta pelepasan larian mengikuti kategori-kategori.
Mengenai dengan laluan larian, wakil Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam, Awang Mohd Halimin bin Shahbuddin menjelaskan bahawa larian 10km akan bermula di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien menuju ke Jalan Elizabeth Dua, Jalan Madrasah, Jalan Stoney, melimpasi Taman Mahkota Jubli Emas, Jalan Mc Arthur dan Jalan Residency, menuju ke Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, menuju ke Kampung Kasat, pusing balik ke Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Jalan Residency, Jalan Mc Arthur dan seterusnya ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Larian 4km juga akan bermula di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien ke bangunan Madrasah, Jalan Pehin Dato Isa, Memasuki Jalan Tasek, menuju ke persimpangan empat Balai Bomba dan Penyelamat BSB, masuk ke Taman Mahkota Jubli Emas dan seterusnya balik semula ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Dato Paduka Haji Mohd Juanda berkata lagi, masyarakat di Negara Brunei Darussalam telah menjadikan amalan bersukan sebati dalam kehidupan mereka dan kepentingan bersukan bukan sahaja terbukti sebagai satu gaya hidup sihat, malah selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan masyarakat di negara ini sentiasa aktif, sihat dan produktif menuju negara maju pada masa hadapan.
Ke arah itu, KKBS mengajak segenap lapisan rakyat dan penduduk negara terutamanya penggemar atau peminat sukan berlari untuk tidak melepaskan peluang hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi acara larian berkenaan, tambah Dato Paduka Haji Mohd Juanda.