Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Dalam usaha mempelbagaikan lagi aktiviti sempena Bandarku Ceria yang diadakan setiap Ahad, Kathis Management Services (KMS) akan menganjurkan Larian Merintis Bandar Seri Begawan (BSB) pada 23 April bermula pukul 7 pagi.
Perkara ini didedahkan oleh Awang Jaini@Khalid Walid bin Haji Mohammad Jair semasa temu bual media di Pejabat KMS, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa larian berkenaan merupakan program kecergasan dan sukan yang juga diharap dapat memberi faedah kepada seluruh masyarakat seterusnya menjadi tarikan dengan memperkenalkan sukan dengan Larian Merintis BSB kepada orang ramai di negara ini.
Menurutnya, antara tujuan sukan merintis ini adalah untuk memperkenalkan BSB sebagai ibu negara Negara Brunei Darussalam serta mempromosi BSB ke tahap serantau dan antarabangsa selain memeriahkan suasana bandar melalui acara sukan.

Orienteering ini, jelasnya, merupakan sukan rekreasi yang memerlukan keseimbangan antara koordinasi fizikal dan mental dengan baik.
“Peserta yang menyertai larian ini akan mengemudikan dirinya dari satu titik kawalan (CP) ke satu titik kawalan yang lain dengan berpandukan kepada peta dan kompas yang diberikan.
“Orienteering ini bermaksud peta, hutan dan pengembaraan di mana sukan ini menggabungkan antara sukan merentas desa, pandu arah dan acara mencari harta karun,” tambahnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhajat untuk menyertai perlumbaan yang mencabar ini boleh menghubungi talian 8397929 atau 8367367.