TOKYO, 30 JUN – Beberapa kawasan bagi larian obor Olimpik di Tokyo tidak akan dibenarkan kepada orang ramai, kata pegawai hari ini, dalam satu lagi cabaran yang timbul sepanjang larian ketika ia menuju ke seluruh Jepun.
Larian obor Tokyo akan bermula pada 9 Julai di Tokyo yang kebanyakannya berlangsung dengan cara tertutup bagi tempoh lapan hari pertama di ibu kota tersebut, sejajar dengan langkah pencegahan virus, beritahu pegawai kerajaan Tokyo, Koichi Osakabe kepada AFP.
“Akan tetapi, kami akan mengadakan acara setiap hari di titik akhir rali larian,” katanya, menambah bahawa kira-kira 100 orang pelari akan terjejas akibat perubahan tersebut.
Perubahan tersebut akan menjejaskan sebahagian larian di luar 23 pusat kejiranan Tokyo.
Osakabe berkata keputusan mengenai bagaimana mengelak kawasan yang lebih padat semasa larian tersebut akan dibuat nanti.
Obor Olimpik akan membuat kemasukan di Stadium Kebangsaan di Tokyo pada 23 Julai – pembukaan Olimpik – selepas melintasi 47 daerah di Jepun.
Tetapi ia terpaksa dilakukan tanpa memberikan kebenaran kepada orang awam disebabkan oleh kebimbangan mengenai virus, dengan pembawa obor terpaksa menyerahkan obor pada acara tertutup di satu kawasan.
Dengan hanya beberapa hari sebelum sukan bermula, pandemik terus menimbulkan cabaran besar.
Tokyo dan beberapa kawasan lain telah melarang orang awam daripada menyaksikan acara sukan tersebut, dan pakar jangkitan penyakit terbaik di Jepun mendesak agar acara diadakan tanpa kehadiran penonton.
Dua ahli rombongan Olimpik dari Uganda telah disahkan positif dijangkiti COVID-19, mendorong kepada pertimbangan semula syarat kemasukan awal pasukan, menurut laporan media tempatan.
Setiap pasukan kini dimestikan untuk menjalani kuarantin sekiranya terdapat satu kes jangkitan, lapor Yomiuri Shimbun hari ini. – AFP