Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian Reintegrasi tangani stigma

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kira-kira 1,000 orang bersama 40 orang rakan seliaan telah menyertai Larian Reintegrasi yang diadakan buat kali kedua sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara ke-64 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melepaskan peserta larian ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Yang Berhormat Pehin juga telah menyertai larian berkenaan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para pegawai kanan dan pegawai-pegawai, ketua akar umbi, pengurus-pengurus syarikat dan ramai lagi, tidak ketinggalan juga para sukarelawan dari Kelab Komuniti Belia Transformasi serta juga orang ramai.

    Larian dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori A (Lelaki 10km), Kategori B (Perempuan 10km) dan Kategori C (Fun Run).

    Muncul juara dalam Kategori A ialah Njori Charles Munyur diikuti oleh Younes Amouta dan Haji Jupli bin Haji Pangis, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menyertai sesi senamrobik bersama para peserta lainnya.
    Yang Berhormat Pehin ketika menyertai larian berkenaan.
    Yang Berhormat Pehin ketika meninjau produk yang diketengahkan semasa acara larian tersebut.

    Manakala itu, juara Kategori B disandang oleh Yvette Jacobine Maria, Dayang Siti Fatimah binti Mohammad di tempat kedua dan Dayang Marni Farizan binti Haji Ahmad di tempat ketiga.

    Penyampaian hadiah kepada pemenang kedua-dua kategori berkenaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, yang mana juara membawa pulang wang tunai $500, naib juara $300 dan pemenang ketiga pula menerima $150.

    Acara juga diselajurkan dengan pameran dan jualan produk kraf tangan Jabatan Penjara dan rakan-rakan seliaan yang diadakan di Pentas Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Sepanjang pameran, orang ramai berpeluang melihat dan membeli barang-barang produk dan kraf tangan pada harga yang berpatutan.

    Larian Reintegrasi ke-2 ini bertujuan untuk menyahut hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam kempen mempromosikan cara hidup sihat yang memberikan impak positif kepada kesihatan dan sosial serta menyokong aktiviti ‘Bandarku Ceria’ yang diadakan setiap hujung minggu.

    Antara lain objektif acara berkenaan adalah untuk membantu rakan seliaan menangani masalah stigma sosial, memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat agar sama-sama berganding bahu dalam membantu program-program pengintegrasian rakan seliaan ke dalam masyarakat, meningkatkan kesedaran dan yakin diri rakan seliaan bahawa mereka masih diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat dan tidak tersisih dalam usaha membangunkan dan memajukan negara.

    Selain itu juga untuk membantu mengumpulkan dana bagi meningkatkan lagi program-program bermanfaat khususnya untuk kepentingan program pemulihan dan seliaan penjara.

    Tema larian kali ini ialah ‘Berubah ke Arah yang Lebih Baik’, yang dipilih untuk menyokong tema Hari Kebangsaan iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’ iaitu bagi melibatkan lebih ramai bekas penghuni penjara menyertai program rakan seliaan dan akan dapat merealisasikan hasrat untuk menjadikan Brunei sebuah negara yang harmoni dan sejahtera.

    Menurut kenyataan Jabatan Penjara, rakan seliaan perlu memanfaatkan latihan kemahiran dan vokasional yang diperoleh dalam penjara kepada kehidupan sebenar dan terus tabah serta kuat menghadapi pelbagai cabaran dan halangan.

    Dengan perubahan yang positif, mereka boleh berjaya dalam kehidupan dan dapat membantu Jabatan Penjara untuk mengurangkan kemasukan berulang kali ke dalam penjara.

    Melalui larian berkenaan juga diharapkan agar lebih ramai rakan seliaan dan keluarga mereka memberikan sokongan yang berterusan dalam usaha meningkatkan perpaduan dan keharmonian negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda