Sunday, October 13, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian Sedekad sambut ulang tahun ke-10 tahun masjid

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Sempena Ulang Tahun ke-10 Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, suatu acara larian diadakan di perkarangan masjid tersebut hari ini.

    Acara yang diberi nama Larian Sedekad itu dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku tetamu kehormat.

    Seramai 206 peserta lelaki dan perempuan telah menyertai larian berkenaan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu larian 10km, 5km dan seterusnya acara berjalan kaki untuk Palestin sejauh 2.5km.

    Acara dimulakan dengan Solat Subuh Berjemaah, diikuti dengan tazkirah dan senaman badan dan kemudiannya diteruskan dengan pelepasan larian 10km terdahulu, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, dan seterusnya larian 5km dan acara berjalan sejauh 2.5km yang turut disertai oleh tetamu kehormat.

    Acara juga menyaksikan majlis penyampaian hadiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat dan penyampaian sumbangan sebanyak $10,000 bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2024 hasil kutipan daripada Takaful Brunei dan anak-anak syarikatnya.

    Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Takaful Brunei Am Sdn Bhd, Hj Md Fuad Hamdi bin Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim, bagi mewakili pihak pengurusan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, Awang Amirul Shukri bin Haji Hafneh juga selaku Pemangku Timbalan Pengarah JAPEM.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri acara berkenaan.
    Antara yang hadir di acara berkenaan.
    Acara larian semasa berlangsung.
    Bergambar ramai antara YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bersama para pemenang kategori 10km veteran.
    Sumbangan daripada Takaful Brunei kepada tabung Palestin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda