Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian tarik lebih 2,000 penyertaan

    Oleh James Kon

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Lebih 2,000 orang telah menyertai Larian Hari Kebangsaan 2017 bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, di ibu negara, hari ini.

    Turut menyertai larian tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Larian yang bermula di Dermaga Diraja dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien itu menyaksikan para peserta dibahagikan kepada tiga kategori larian iaitu Larian 5km Lelaki, 5km Wanita dan 2km Fun Run.

    Laluan larian merangkumi jalan-jalan di ibu negara seperti Jalan McArthur, Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Stoney, Jalan Dato Ibrahim, Jalan Sumbiling, Jalan Haji Basir dan Jalan Kumbang Pasang yang juga bertujuan untuk memeriahkan lagi Program Bandarku Ceria kerana jalan-jalan berkenaan ditutup bagi aktiviti tanpa kereta setiap Ahad.

    Dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Atletik Brunei Darussalam, Larian Hari Kebangsaan 2017 bertujuan untuk memupuk hubungan silaturahim dalam kalangan belia dan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat tempatan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika melepaskan para peserta larian.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika melepaskan para peserta larian.
    Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bergambar ramai bersama para pemenang Kategori Larian 5km Lelaki.
    Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bergambar ramai bersama para pemenang Kategori Larian 5km Lelaki.
    Awang Mohd Fakhri dan Dayang Maziah memimpin sesi pemanasan badan sebelum larian dimulakan.
    Awang Mohd Fakhri dan Dayang Maziah memimpin sesi pemanasan badan sebelum larian dimulakan.
    Para peserta yang menyertai larian tersebut.
    Para peserta yang menyertai larian tersebut.

    Sebelum larian bermula, menteri-menteri dan timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan lain turut menyertai para peserta lain dalam sesi memanaskan badan yang dipimpin oleh jurulatih Awang Mohd Fakhri bin Haji Ismail, pelari pecut yang mewakili Brunei dalam Olimpik Musim Panas Rio 2016 dan Dayang Maziah Mahusin, atlet Olimpik wanita pertama Brunei.

    Ini diikuti dengan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melepaskan peserta Larian 5km Lelaki dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melepaskan para peserta Larian 5km Wanita.

    Kemudian, kedua-dua menteri berkenaan melepaskan peserta Larian 2km Fun Run yang turut disertai oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom.

    Bagi Larian 5km Lelaki, pelari Morocco, Ammouta Youmes memenangi tempat pertama diikuti pelari tempatan yang tidak asing lagi, Sefli Ahar di tempat kedua dan Mohammad Waiz Rusyadi bin Mohd Shahrun di tempat ketiga.

    Dalam Larian 5km Wanita pula, tempat pertama disandang oleh Venessa Lobb manakala itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Jenny Muslim dan Leong Sheo Yee.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda