LAS VEGAS – Berjuta-juta belalang hinggap di kawasan siar kaki popular di bandar kasino Amerika Syarikat, Las Vegas, lapor akhbar The Sun.
Serangga itu yang tertarik pada kerlipan lampu neon metropolis tersebut melitupi beberapa jalan dan kawasan kaki lima. Kehadiran tetamu tidak di undang itu dikatakan berpunca daripada cuaca lembap di negeri Nevada sejak beberapa bulan lalu.
Bilangan belalang itu sungguh banyak sehingga serangga tersebut kelihatan seperti awan membawa hujan pada skrin radar kaji cuaca.
“Sebahagian daripada anda bertanya tentang kemunculan awan pada radar sejak beberapa malam lalu di Las Vegas. Analisis radar menunjukkan paparan itu merupakan sasaran biologi seperti burung, kelawar dan serangga tetapi dalam kes ini ia berkemungkinan besar adalah belalang,” kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan dalam kenyataan menerusi Twitter baru-baru ini.
Ahli entomologi negeri Nevada, Jeff Knight memberitahu saluran berita CBS News bahawa belalang itu tidak berbahaya, tidak membawa penyakit dan tidak menggigit manusia. Katanya, serangga itu berhijrah dari selatan Nevada dan mungkin juga dari negeri Arizona. “Belalang ini akan beredar dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya. –AFP
