Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Las Vegas perkenal Cybertruck polis terbesar di AS

    LAS VEGAS, 3 NOV – Armada terbesar kenderaan peronda Tesla Cybertruck milik pasukan polis di Amerika Syarikat (AS) bakal mula beroperasi di Las Vegas pada November ini hasil sumbangan seorang jutawan teknologi AS, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pengaruh sektor swasta dalam urusan jabatan awam.

    “Selamat datang ke masa depan penguatkuasaan undang-undang,” kata Sherif Clark County, Kevin McMahill, ketika sidang akhbar baru-baru ini, dikelilingi oleh deretan Cybertruck sambil dron berlegar di udara dan helikopter polis berputar di atas kawasan tersebut.

    Menurut McMahill, 10 buah Cybertruck berwarna hitam dan putih milik Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas (LVMPD) itu dilengkapi lampu kecemasan dan siren serta dibalut dengan logo rasmi jabatan berkenaan.

    Seramai 400 anggota polis telah dilatih untuk mengendalikan kenderaan elektrik itu yang akan menggunakan stesen pengecas awam.

    Beliau berkata, kenderaan berkenaan turut dilengkapi dengan senapang patah, perisai dan tangga, selain mempunyai kapasiti bateri tambahan bagi menampung keperluan operasi polis yang intensif.

    Tesla Cybertrucks milik Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas dipamerkan di Las Vegas pada 28 Oktober. – AP

    McMahill menjelaskan, Cybertruck akan meningkatkan keselamatan anggota polis kerana ia kalis peluru, berbeza dengan kereta peronda sedia ada yang tidak mempunyai perlindungan sedemikian.

    Bagaimanapun, sumbangan kenderaan tersebut menimbulkan kebimbangan daripada pakar pemantauan kerajaan mengenai potensi pengaruh penderma swasta terhadap jabatan awam serta kemungkinan meningkatkan imej jenama Tesla secara tidak langsung.

    Las Vegas kini menjadi antara bandar terbaharu di AS yang menggunakan model Tesla dalam operasi kepolisan, meskipun syarikat milik Elon Musk itu sebelum ini berdepan kritikan akibat penglibatannya dalam agenda politik pentadbiran Presiden AS serta usaha mengurangkan saiz kerajaan persekutuan.

    Setiap kenderaan dianggarkan bernilai antara AS$80,000 hingga AS$115,000 dan akan digunakan untuk tugas rondaan, menangani insiden tembakan serta situasi tebusan atau penghadangan.

    Beliau turut menambah Cybertruck menawarkan kelebihan unik seperti radius pusingan yang lebih pendek, memudahkan pergerakan di kawasan bandar padat. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda