Gambar AP
KHUZAA, GAZA – Penduduk tempatan memanggilnya ‘salad tembikai’, namun hidangan popular di selatan Semenanjung Gaza pada tahun ini jauh daripada rasa manis, menyegarkan yang diambil daripada namanya.
‘Lasima’, ‘Ajar’ atau ‘Qursa’ adalah nama-nama lain bagi hidangan panas dan pedas itu, yang mengambil masa berjam-jam untuk disediakan.
Terdapat tembikai pada hidangan itu, akan tetapi mereka yang memakannya pasti tidak akan menyedari rasanya.
Di wilayah yang berbangga dengan tradisi masakannya. Namun siapa menyangka hidangan itu boleh memecahbelahkan.
Penduduk di selatan Gaza menggemari hidangan itu.




Akan tetapi beberapa kilometer ke utara, orang ramai menganggapnya sebagai hidangan kotor, kerana cara penyediaannya.
Lasima hanya tersedia dua bulan dalam setahun. Ia diperbuat daripada tembikai yang dipetik apabila buah itu masih kecil dan belum masak.
Ia kemudian dipanggang di atas api dan seterusnya dikupas, dan isinya yang lembut dicampur dengan terung panggang dan hirisan tomato, lemon, bawang putih, bawang dan minyak zaitun.
Ia kemudiannya dimakan bersama doh khas yang dibakar dalam abu api.
Nama ‘Ajar’ yang bermaksud ’belum masak’ dalam bahasa Arab, merujuk kepada tembikai muda.
Manakala ‘Qursa’ adalah perkataan bagi doh keras. ‘Lasima’ bererti ‘bersepah’, yang merujuk kepada hidangan becak itu yang disajikan dalam mangkuk besar.
Ramai mengatakan hidangan itu berasal daripada puak Arab Badwi kira-kira lebih 100 tahun yang lalu di padang pasir Sinai yang berdekatan dengan Mesir.
Ada yang mendakwa ia adalah makanan tradisi orang Palestin. Walau bagaimanapun, tidak banyak bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
Makanan itu hanya popular di bahagian selatan Gaza, berhampiran sempadan Sinai.
Jauh di bahagian utara, hidangan itu tidak dikenali oleh orang ramai.
Amona Abu Rjila, 70, dari Khuzaa, berkata dia masih ingat ibu bapanya dan juga datuknya membuat hidangan itu di luar semasa musim tembikai.
“Ia adalah hidangan tradisional Palestin yang mempunyai keturunan Badwi,” katanya.
Di bahagian utara, tidak ramai yang bersetuju dengannya. Mereka yang tahu mengenai hidangan itu menentang akan penyediaannya, kerana bahan-bahannya selalunya dihancurkan menggunakan tangan, ia tidak bersih.
Baru-baru ini, sekumpulan kawan berkumpul di kawasan halaman menghadap sempadan Israel dengan Gaza.
Mereka memotong buah-buahan berbentuk dadu dan memanggang bahan-bahan itu ke dalam api.
Apabila api semakin perlahan dan sayur-sayuran mempunyai kesan hangus, doh kental ditanam di dalam abu.
Abdelkarim al-Satari, 33, tidak mempunyai pekerjaan, mula mencampurkan Lasima.
Dia mencerai-ceraikan doh dan memasukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar, menghancurkan semuanya dengan menggunakan tangan.
Risau tentang orang ramai yang memerhatikannya, dia memakai sarung tangan berwarna hitam.
“Setiap musim, orang ramai memanggil saya untuk membuat Lasima untuk mereka kira-kira 20 kali,” dedahnya.
Untuk mencabar imej negatif hidangan itu, pencipta kandungan media sosial, Mohammed Aborjela membeli hidangan itu dalam mangkuk tanah liat yang kecil dan menawarkan sampel secara rawak kepada orang ramai yang berjalan-jalan di Bandar Gaza.
Ramai daripada responden dalam video berdurasi hampir dua minit berkata mereka tidak pernah mendengar mengenainya, namun kesemua mereka yang mencuba berkata bahawa mereka menyukainya.
Video itu menarik lebih 1,000 komen – kebanyakannya mereka tertarik dengan rasanya namun terkejut dengan cara penyediaannya.
“Cara hidangan itu dibuat, terutama oleh kaum lelaki, ia sangat tidak menarik untuk dilihat,” kata Nada Azzam, seorang wanita dari Bandar Gaza.
Dia memberitahu bahawa dia tidak pernah mencuba Lasima sebelum ini.
Tetapi selepas menyaksikan video seorang wanita menyediakan Lasima dengan ‘cara memasak yang bersih,’ dia berkata ingin mencuba memakannya sekali lagi. – AP

