Thursday, April 24, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latih kewartawanan pelajar, pelihara alam sekitar

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 24 APRIL –12 pelajar Sekolah Panaga menyarung ‘topi wartawan’ apabila mereka menyertai pertandingan Young Reporters for the Environment (YRE) peringkat antarabangsa dengan menampilkan hasil penulisan kreatif dan penghasilan video bertemakan Pemulihan Ekosistem baru-baru ini.

    Dipimpin oleh guru mereka, Steven McCready, kumpulan pelajar berkenaan melibatkan diri secara aktif selama tiga bulan dengan mengadakan pertemuan mingguan bagi menyelidik, menulis dan menghasilkan artikel selaras dengan tema pertandingan tahun ini.

    Menurut Steven, sebagai guru kelab YRE di sekolah berkenaan, beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat menyeronokkan dan membanggakan kerana dapat bekerjasama dengan sekumpulan pelajar yang bersemangat dan berdedikasi.

    “Minat mereka terhadap alam sekitar sangat mengagumkan. Usaha gigih mereka dalam menyiapkan projek ini daripada peringkat penyelidikan sehinggalah pembentangan, benar-benar memberi inspirasi,” tambahnya.

    Antara sorotan utama termasuk temu bual dengan Presiden Persatuan Alam Semula Jadi Brunei, Dr Ulmar Grafe mengenai bagaimana kepakaran manusia dan kecerdasan buatan (AI) boleh digabungkan dalam usaha pemulihan ekosistem, serta temu bual bersama pengasas Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo, Wong Siew Te yang membincangkan peranan beruang madu dalam mengekalkan keseimbangan alam.

    Salah seorang peserta, Harini Karthikeyan, 11 tahun, menyifatkan penglibatannya dalam YRE sebagai pengalaman yang amat berharga.

    “Saya seronok bekerja bersama rakan-rakan dan belajar tentang beruang madu yang kini menjadi haiwan kegemaran saya,” katanya sambil menambah bahawa proses penyelidikan dan penulisan mencabar pada mulanya namun hasilnya sangat memuaskan dan menjadikan pengalaman lebih bermakna.

    Penyertaan pelajar Sekolah Panaga kini sedang dalam proses penilaian untuk disenarai pendek menjelang awal Jun, manakala pengumuman pemenang dijangka dibuat pada pertengahan bulan yang sama.

     Semua di atas: Antara aktiviti pelajar semasa menyiapkan tugasan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN STEVEN MCCREADY

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda