Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Di samping dalam menyediakan peluang untuk melatih golongan pelajar yang berminat dalam bidang pertanian melalui program yang distrukturkan dan suasana pembelajaran yang kondusif, pihak institusi-institusi pendidikan juga ada memberikan bimbingan kerjaya bukan sahaja semasa mengikuti pengajian bahkan juga selepas mereka menamatkan kursus tersebut.
Institusi-institusi berkenaan turut memberikan dukungan lanjut kepada graduan-graduan melalui perundingan dan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, perbankan, Darussalam Enterprise (DARe) dan lain-lain agensi yang berkepentingan untuk membantu dalam menyediakan keperluan modal kewangan untuk memulakan perusahaan di sektor ini.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh menjelaskan perkara berkenaan ketika menjawab persoalan daripada ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai rancangan bagi graduan-graduan yang mengikuti kursus pertanian, di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dan usaha atau inisiatif kerajaan bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran para graduan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya,
“Usaha menggalakkan lebih ramai graduan-graduan tempatan kita khususnya dalam kalangan mereka yang berkelulusan dalam bidang pertanian dan agrimakanan sememangnya memerlukan sokongan padu daripada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan pihak industri.
“Melalui pendekatan senegara ini, ia akan dapat memenuhi hasrat keselamatan makanan dan sara diri dalam sektor pertanian dan agrimakanan,” ujar Yang Berhormat Datin lagi pada hari ke-11 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.



