Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latih pelajar tangani masalah kejuruteraan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Bahagian Profesional Muda (YPS) Brunei telah mengungkayahkan Faraday Challenge 2024: Mission to Mars V.2 yang berlangsung di Sekolah Rendah Rimba III, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis tersebut ialah Pengerusi Kehormat IET, Rangkaian Brunei Darussalam, Ir Dayangku Roselawati binti Pengiran Haji Halus, yang sekali gus menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Muhd Yusuf bin Muhd Yusran.

    Acara berkenaan telah menyaksikan penyertaan dari lapan buah sekolah di seluruh Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Sekolah Seri Mulia Sarjana, Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Tanjong Maya, Sekolah Menengah Yayasan, Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait, Sekolah Antarabangsa Jerudong, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Pertandingan berkenaan direka untuk memberi inspirasi dan menyemarakkan semangat golongan pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Acara yang berlangsung sehari itu turut melatih para pelajar untuk menangani masalah kejuruteraan dunia sebenar yang kompleks menggunakan penyelesaian inovatif dan pemikiran kreatif.

    Sehubungan itu, majlis anugerah turut diadakan pada sebelah petang bagi meraikan pencapaian luar biasa pasukan yang mengambil bahagian. Hadir menyampaikan anugerah tersebut ialah Ketua Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) Kementerian Pendidikan, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim.

    Majlis berkenaan telah menyaksikan Sekolah Menengah Tanjong Maya muncul sebagai juara pertandingan; Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait di tempat kedua manakala tempat ketiga disandang oleh Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Pengerusi IET YPS Brunei, Jevons Q Penaflor dan jawatankuasa penganjur mengulas mengenai kejayaan acara itu dengan berkata Faraday Challenge melebihi jangkaan mereka dalam segala hal. Ia memberikan inspirasi untuk menyaksikan penyelesaian inovatif dan kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua sekolah yang mengambil bahagian. Zoom:Bit (Micro:Bit) menambah dimensi baharu kepada cabaran, dan mereka teruja dengan kreativiti dan kehebatan teknikal yang ditunjukkan oleh golongan pelajar.

    Dalam sentuhan perintis, cabaran pertandingan tahun ini menampilkan kesukaran tambahan untuk memprogramkan Micro:Bit line follower robot sebagai sistem pengangkutan, menyediakan pelajar platform yang menarik bagi membangun dan mempamerkan kemahiran pengaturcaraan mereka.

    Ir Dayangku Roselawati dan para peserta bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN IET YPS BRUNEI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda