Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Latihan gabungan promosi sukan karate

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Rengokai Karate Brunei Darussalam (RKBD) selaku duta kegiatan fizikal telah mengadakan acara Latihan Gabungan Bersama RKBD Keiko Hajime 2023, di bawah program Happy Environment and Lifestyle (HEAL), bertempat di Kompleks Sukan Sungai Kebun, hari ini.

    Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik telahpun diungkayahkan seperti gaya asas dan Kata Shotokan, sesi aerobik yang dibawakan oleh Bakhtiar, permainan seperti tindak balas kon dan juga permainan futsal.

    Turut hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Operasi Gleneagles JPMC, Izzul Hamzi bin Jomari, dan Timbalan Ketua Misi, wakil Kedutaan Jepun, Suda Atsushi.

    Acara Latihan Gabungan Bersama RKBD Keiko Hajime 2023 ini bertujuan untuk mempromosi dan menggalakkan sukan karate sebagai seni mempertahankan diri dalam kalangan rakyat Brunei sebagai pilihan dalam kegiatan fizikal dan juga pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Selain itu, ia adalah untuk mempamerkan faedah atau kelebihan sukan karate dari segi mental dan juga fizikal terutama sekali kepada kanak-kanak bermula daripada usia muda lagi. Objektif lain acara ini juga adalah untuk memupuk semangat persahabatan dan persaudaraan kelab-kelab di bawah Persekutuan Karate Brunei Darussalam (BRUKAF).

    Dengan adanya aktiviti atau program seperti ini, Kementerian Kesihatan berharap agar orang awam dapat membantu pihak PPK dan yang berkepentingan dalam sama-sama menangani isu-isu yang berkaitan dengan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, jantung, kanser dan sebagainya, dengan mempromosikan amalan gaya hidup yang sihat kepada semua peringkat umur.

    Antara peserta yang menyertai acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...