Thursday, December 26, 2024
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan hadapi kecemasan giat dijalankan

    Oleh Sim Y. H. –

    BELAIT, 14 DIS – Pelbagai agensi dan jabatan telah bersatu dalam inisiatif menyediakan peluang pencegahan awal ketika Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) membantu menjalankan satu lagi latihan kecemasan dikenali sebagai Operasi Tangkas 4 pada 27 November lalu di Stesen Minyak Lumut (LPSS), Daerah Belait.

    Operasi tersebut diketuai oleh Pengurus HSSE dan Aset Kumpulan Korporat MGCSB, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif, diiringi oleh Penyelaras HSSE MGCSB, Awang Abdul Wadoud bin Awang Hamdani dan Pegawai Alam Sekitar, Awang Mohammad Azri bin Mahmud.

    Dalam operasi itu, satu latihan telah dijalankan ke atas Sistem Tindak Balas Kumpulan Kecemasan di mana kecekapan pemadam kebakaran dan pasukan pertolongan cemas syarikat tersebut dalam mengendalikan situasi krisis dipantau.

    Bercakap kepada wartawan, Awang Mohd Rizal menjelaskan bahawa Operasi Tangkas 4 adalah untuk memantau, menilai dan meneliti pelbagai aspek tindak balas kumpulan terhadap kecemasan.

    “Kecemasan ini mengetengahkan prosedur tumpahan di LPSS dan mengenal pasti sebarang jurang yang memerlukan penambahbaikan daripada latihan, serta memastikan pihak yang terlibat dalam kejadian kecemasan menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing dan bagaimana mereka berinteraksi antara satu sama lain semasa situasi kecemasan sebenar.”

    Beliau juga menambah bahawa operasi yang dijalankan membolehkan semua orang yang terlibat jelas tentang bagaimana mereka akan bertindak balas dalam situasi sebenar dan untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kecekapan metodologi pembendungan tumpahan dalam kawasan stesen minyak.

    Senario itu menyaksikan tumpahan minyak di mana dua tong minyak sisa mengandungi Ron 97 dan Diesel terbalik akibat kenderaan mengundur, yang dikawal segera semasa operasi.

    Ketua Pemadam Kebakaran, Azrin Sutikno hadir selaku ketua operasi, bersama-sama bantuan Balai Bomba Sungai Liang yang diketuai oleh SO Sarkawi bin Bakar dan Polis Kawalan Trafik Sungai Liang yang diketuai oleh S/Insp Mohd Nazmi bin Haji Ismail.

    Turut hadir menyaksikan operasi tersebut ialah para pegawai kanan dan pemerhati dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Brunei, wakil Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) dan Ketua Peruncitan, Haji Shahruddin bin Haji Abdul Wahid, dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Pengurusan Sisa Mashhor, Malai Shamil Faris bin Dr Malai Haji Abdul Hamid.

    Gambar ramai semasa operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MGCSB
    GAMBAR SERAHAN MGCSB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda