Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kebakaran di salah sebuah bilik sekolah berjaya segera dipadamkan oleh anggota bomba dan penyelamat setelah mereka tiba dan memastikan keselamatan warga sekolah.
Itu merupakan senario semasa Latihan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan Sekolah Rendah Puni, Temburong yang melibatkan seramai 96 orang guru, murid dan kakitangan sekolah, kelmarin.
Latihan itu diadakan oleh pihak Sekolah Rendah Puni dan Bahagian Perhubungan Awam Operasi G, Daerah Temburong dengan matlamat untuk memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek keselamatan kebakaran.
Ia juga bermatlamat untuk memastikan bahawa warga sekolah mengetahui tatacara yang betul untuk menyelamatkan diri semasa kebakaran.
Latihan itu dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan keberkesanan prosedur yang efektif dan bersistematik.
Turut hadir semasa latihan itu ialah Pegawai Pemerintah Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan Timbalan Stesen Komander Balai Bomba Bangar, ASO Ahmad bin Haji Kassim.