Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Kebakaran di salah sebuah unit kedai adalah senario Latihan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan Rimba Point Sdn Bhd yang dijalankan hari ini.
Latihan melibatkan seramai 488 orang pegawai dan kakitangan syarikat serta orang awam dengan kerjasama Balai Bomba Rimba, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Menurut JBP, dalam latihan berkenaan, seramai 10 orang anggota bomba dan penyelamat bersama dua buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian dengan semua kakitangan, pekerja dan orang awam diarahkan untuk membuat pengosongan bangunan.
Latihan itu bermatlamat untuk memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan kebakaran serta mengetahui tatacara yang betul untuk menyelamatkan diri semasa kebakaran.
JBP menegaskan bahawa latihan amat perlu dikendalikan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi sama-sama sentiasa mempraktikkan dan menangani situasi bila berlakunya kebakaran serta tindakan yang betul ketika berlakunya kecemasan.