BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Bagi menguji keberkesanan penyaluran dan penerimaan maklumat serta sistem perhubungan di antara agensi-agensi berkepentingan, satu latihan kecemasan keselamatan akan diadakan pada 2 Ogos ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Latihan juga bertujuan untuk menilai kecekapan dan keberkesanan dalam menyelaras serta menangani kecemasan yang melibatkan operasi penerbangan dan perkhidmatan bangunan terminal.
Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Perhubungan memaklumkan perkara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak merasa cemas apabila berada di kawasan bangunan terminal sepanjang sesi latihan dijalankan.
Perkhidmatan di lapangan terbang termasuklah penerbangan akan beroperasi seperti biasa.