Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 25 SEPT – Dengan matlamat untuk menguji dan menilai keupayaan serta respons segera pemandu, kakitangan yang bertugas dan pasukan tindak balas kecemasan (ERT) dalam menguruskan insiden, Syarikat Aziz Latif Transport Sdn Bhd (ALTSB) telah melaksanakan Latihan Kecemasan: Latihan Bersepadu 2024 bertempat di Kawasan Perindustrian Serambangun, Daerah Tutong, pagi tadi.
Latihan kecemasan yang merupakan sebahagian daripada Pelan Tahunan Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (KKK) syarikat tersebut juga bertujuan menguji koordinasi kecemasan ALTSB dengan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM), Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan agensi-agensi keselamatan kerajaan yang berkepentingan selain mengenal pasti jurang keupayaan, ketidakselarasan atau keperluan penambahbaikan dalam prosedur kecemasan yang sedia ada.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Penolong Penyelaras Operasi, Awang Mohd Hariz bin Haji Anuar diikuti taklimat keselamatan oleh Pegawai Keselamatan Pengangkutan, Awang Mohd Hafiz Juddin bin Jimat.
Latihan berkenaan telah disertai oleh anggota polis dari Balai Polis Daerah Tutong, anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Pekan Tutong dan anggota paramedik dari Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Sebelum bermulanya sesi latihan keselamatan, taklimat latihan telah disampaikan oleh Penyelaras Operasi dan Pengarah Live Exercise, Dayang Norakalily binti Haji Rosli.
Latihan turut disaksikan oleh beberapa jemputan dari Unit LDT, BSP dan BMD Team BSM.
Latihan diakhiri dengan sesi ulang taklimat latihan dan penyampaian cenderahati kenangan oleh Pengurus Kontrak ALTSB, Haji Mohd Amirul bin Haji Tarip kepada para peserta.





